Thursday, January 2, 2014

WANITA RAMAI MASUK NERAKA

5 JAN 2014

Lama betul Puteri tak menulis di blog. Hari ni Puteri terasa di jemput untuk menulis lagi ... tajuk yang mungkin akan mengundang kontroversi lagi.. selain tajuk syurga isteri bawah tapak kaki suami yang mengundang begitu ramai pembaca.

WANITA RAMAI MASUK NERAKA

Ye memang kita seringkali disogokkan dengan hadis Riwayat Bukhari itu yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad berkata bahawa baginda melihat ramainya wanita di dalam neraka.

Ye Puteri percaya Rasulullah "melihat" ramainya wanita ummat baginda masuk neraka... Yang Puteri kurang percaya bila riwayat itu mengatakan  wanita masuk neraka kerana tidak taat pada suami.

Puteri percaya memang ramai wanita masuk neraka dan kita sudah lihatnya hari ini, begitu ramai sekali wanita yang menderita dalam neraka yang dibina lelaki hari ini. Wanita dibelenggu dan dibantai dengan herdik sepak terajang oleh lelaki. dan inilah neraka bagi kami kaum wanita. Wanita di kelar mukanya kerana hidup dalam neraka ciptaan lelaki terutama yang bergelar suami... op cop cop cop!!!..ni kang ada suami yang melenting sampai terangkat kain pelikat tu... kejaaaaap laaaaaaaa.. 

Puteri tak pukul rata semua lelaki macam tu.. bagi para suami yang menjaga baik wanita di bawah amanahnya, maka syurgalah yang wanita rasai dan ni'mat sekali rasanya hidup dalam syurga  itu. Lelaki begini, Puteri tabi' dan hormat malah Puteri sayang.

Yang puteri maksudkan  bagi lelaki yang di atas tu, adalah lelaki yang sememangnya menjadikan hidup wanita ini neraka  hanya kerana mereka lebih bertenaga dari kami kaum wanita, hanya kerana mereka merasa lebih berkuasa dari kami kaum wanita, kaum yang lemah.

Muhammad Rasulullah adalah pembela nasib wanita dan semasa zaman baginda menjadi Rasul lah nasib wanita banyak berubah dan lebih di hormati. Maka baginda amat bersedih sekali akan nasib ummatnya, sehingga di akhir hayat baginda masih lagi menyebut "ummati ummati".. mengenangkan nasib ummat nya, yang lelaki menzalimi sehingga wanita hidup dalam neraka,




Sunday, May 27, 2012

Mendidik agar diri bertanggung jawab

Tarikh asal saya menulis topik ini ialah 20 hb Ogos 2011.
Bagaimana pun ia terletak lama dalam kotakdraf saya, sehinggalah saya meneliti semula semua kotak yang ada pada hari ini , 27hb Mei 2012


Kita boleh mula memupuk rasa tanggungjawab dalam diri kita dan diri anak-anak dengan memperkenalkan tanggungjawab pada perkara-perkara yang ada di sekeliling kita dan kebiasaan dalam kehidupan seharian kita seperti:

1) Setiap orang yang selesai makan, bertanggungjawablah untuk membersihkannya sendiri.
2) Setiap orang yang bangun tidur, bertanggungjawablah mengemaskan tempat tidur sendiri
3) Setiap orang yang membuat kerja-kerja yang menghasilkan sampah, bertanggungjawablah membuang sampah-sampah ke dalam tong sampah.
4) Setiap orang yang masuk tandas, bertanggungjawablah membersihkan tandas sebelum keluar.
5) Setiap orang yang mengambil buku untuk di baca, bertanggungjawablah meletakkan semula ke tempat asalnya sesudah baca.

Masyarakat adalah himpunan dari individu. Yang demikian, nampak tak, kalau setiap individu sudah ada rasa tanggungjawab pada diri, dan sikap bertanggungjawab ini telah terpupuk ke dalam diri masing-masing, banyak masalah masyarakat yang kita lihat hari ini dapat diselesaikan.



FIKIRAN DAN PERJALANAN HIDUP

27 Mei 2012

Manusia dengan daya fikirannya telah mencipta komputer, telah berjaya ke dasar lautan dan meneroka isi bumi, telah berjaya ke angkasa lepas dan melakukan banyak lagi perkara perkara luarbiasa di luar dirinya sendiri. 

Namun, masih belum mampu menjelajahi kedalaman dirinya sendiri.

Nampaknya, perjalanan menuju bulan lebih dekat daripada perjalanan ke dalam diri sendiri. Tidak ramai orang yang mahu melakukan perjalanan ke dalam diri sendiri kerana ia tidak memerlukan apa-apa pun selain PERHATIAN. 

Ye.... perhatian penuh  setiap saat untuk mendengarkan dan melihat setiap gerak fikiran dan perasaan dengan tepat, tanpa penyimpangan dari pengaruh apa pun.

Tuesday, February 14, 2012

Cerai - gantung tak bertali

Dah lama Puteri memerhatikan nasib wanita Islam di Malaysia ni yang kian hari kian terjerut dek fahaman yang, entah sedar atau tidak, menindas kaum wanita. Mahu kembali ke zaman jahiliyah ke kita ni?

Penat aje usaha Rasulullah mengangkat martabat dan maruah wanita dalam masyarakat, sebagai satu cara hidup Islam, dan tinggalkan cara hidup jahiliyah, tapi apa yang berlaku di akhir zaman ini, manusia kembali kepada jahil. Puteri teringat ayat Quran yang Puteri pernah baca, terjemahnya lebih kurang begini : 
"Apakah hukum jahiliyah yang mereka cari? Dan siapakah lebih baik dari Allah, hukumnya, bagi kaum yang yakin?"(Q5:50)

Dalam Quran terdapat beberapa tempat ditunjukkan akan tatacara menjalankan hukuman agar kita keluar dari kegelapan hukum jahiliyah sehingga kita mendapat nur cahaya jalan yang lurus.

Merujuk kepada artikel dalam suratkhabar, yang dipaparkan di sini, dan atas cadangan sahabat Puteri, Jebon, Puteri berminat untuk menulis berkaitan artikel ini.

Seperti kisah dalam artikel itu, dah biasa Puteri dengar, bila kes cerai luar mahkamah dibawa ke dalam mahkamah, ramai sekali suami yang "U-turn", iaitu bermati-matian menafikannya, mungkin sebab tak mahu bayar denda RM1000 kerana lafaz cerai luar mahkamah. Maka, bermulalah kisah sadis wanita bergelar isteri itu yang terpaksa turun naik mahkamah bertahun-tahun kerana mahu pihak berkuasa mengesahkan lafaz cerai tersebut, dek ego lelaki yang tak mahu mengaku lafaznya yang hanya didengari oleh isteri.

Bayangkan penderitaan yang wanita itu terpaksa tempuhi. Suami mudah aje, dalam masa duduk berasingan dengan isteri sementara menunggu keputusan mahkamah yang makan bertahun-tahun itu, entah-entah dah nikah seorang lagi di seberang sempadan. Maklumlah, suami boleh poligami. Isteri bagaimana? Bukankah satu kezaliman tu sengaja melewat-lewatkan dan membuat seorang manusia dalam penasaran? 

Alasan tak ada saksi, sungguh tak menasabah. Ada ke sempat nak cari saksi dulu nak ceraikan isteri dalam keadaan marah tu?

Hanya kerana dia seorang wanita, yang dicipta dengan sifat lemah lembut, mereka ambil sambil lewa aje keadilan terhadap wanita. Mengapa takut nak ubah sistem mahkamah yang jelas sekali banyak meremehkan kes sehingga berlakunya apa yang dikata gantung tak bertali? Seharusnya mahkamah perlu prihatin kes begini untuk elakkan masalah gantung tak bertali yang lebih lama lagi. Sudahlah kawan tu digantung tak bertali oleh suami, mahkamah pun turut serta menggantung kes dia sampai bertahun-tahun lagi. Pertimbangan beginikah yang dikatakan adil? Kalau kerana denda RM1000 kerana lafaz cerai luar mahkamah tu membawa banyak mudharat dari memberi keadilan, ubahlah hukuman itu, semoga tanpa denda, suami tak ragu2 lagi untuk mengaku. Isteri pun tak kena belitan naga sakti pembohongan suami. Perlu pertimbangkan, kemaslahatan umum, bukan sekadar meraih pendapatan institusi. Meskipun Puteri faham hasrat mendenda itu supaya suami tidak sewenangnya melafazkan cerai pada isteri, namun realitinya, tidak semua manusia tu sesabar kakitangan mahkamah syariah yang sanggup mengunci lidah. Sebahagian mereka jahil akan wujudnya undang2 begitu kerana tidak ada dalam hukum hakam kitab Fiqh. Realitinya sekarang, setelah dikuatkuasakan, ianya lebih banyak memberi masalah kepada isteri yang dianiaya oleh suami yang jenis tak nak mengaku, yang mengakibatkan gantung tak bertali. Demi kemaslahatan umum, Puteri merayu, runtuhkanlah ego dengan mempertimbangkan untuk mengubahnya semula.

Bayangkan, makin lama ditangguh-tangguh, tubuh makin dimamah usia. Nak kawin lain tak boleh, sebab agama Islam yang mereka ceramahkan kata, wanita tak boleh polyandri macam lelaki yang boleh poligami. Jadi, seorang wanita yang berkahwin, kalau suami tak ceraikannya, sampi mati pun tak boleh kawin lagi. Inikah cara hidup yang tuan-tuan katakan ISLAM? Maaf, Islam yang Puteri yakini tidak menzalimi dan tidak menganiayai sesiapa.

Peraturan-peraturan yang tidak menasabah seperti nak cari saksi yang mendengar lafaz cerai perlu diubah kepada pembuktian yang lebih relevan. Mengapa tak mahu ubah peraturan sebegitu? Sikap takut untuk mengubah sistem/konsep/birokrasi sedia ada di mahkamah syariah yang melecehkan, sehingga membuat masyarakat teraniaya, mana lebih buruk? Sedangkan, diantara ciri syariat Islam ialah mudah dan memberikan kemudahan dalam segala urusan kehidupan.

Menjadi isteri, seperti tidak ada jalan keluar bagi masalah rumahtangga Islam di Malaysia. Lebih sadis bila ada yang menganggap wanita berkahwin, sebagai pekerja rumahtangga. Mereka menganggap seorang wanita yang telah bersetuju untuk berkahwin, ibarat pekerja yang terikat dengan perjanjian. Huh! sungguh, manusia telah kembali kepada hukum jahiliyah.

Apakah mahkamah tidak lagi mengambil kira sikap suami serta peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam rumahtangga yang menjurus kepada perceraian? Pengaduan isteri yang mengadu akan derita yang dialaminya, apakah tidak lagi perlu dilihat sebagai kuatnya hujah lebih baik bercerai dari hidup tidak sefahamanan? Apakah mahkamah hanya mengambil kira sumpah suami yang bersumpah (entah bohong entah tidak)? Inikah hasil didikan agama yang tidak menggalakkan menggunakan akal tapi taklid  pada hukum statik, tanpa perlu dihujahkan kerasionalannya? Inikah tahap pemikiran para pemuka keadilan di Mahkamah Syariah Malaysia? Jelas sekali kita perlukan satu anjakan paradigma. Kita perlukan gelombang baru. Pilihlah samada mahu berjinak-jinak dengan gelombang baru atau mahu gelombang tsunami yang merubahnya.

ISLAM adalah untuk semua, bukan untuk orang-orang beragama Islam sahaja. Mengapa masih takut untuk menyatukan sistem kehakiman syariah dan sivil? Kalau kerana berbeza sistem perundangan, kajilah mana yang lebih adil dan lebih realistik. Sunnatullah adalah hukum alam yang logik dan seimbang. Kalau mahkamah syariah merasa inferior bila bergabung dengan mahkamah sivil, pasti ada sesuatu yang tak kena. Seharusnya hukum Allah mengatasi segala sesuatu dan sesuai untuk manusia sejagat, barulah ISLAM itu dihormati semua dan mereka akur dan setuju berlindung di bawah perlembagaan ISLAM. Renungkanlah sahabat!!!

Mungkin fahaman yang disebar luas bahawa Allah benci perceraian, adalah berdasarkan dari sepotong hadis
 riwayat Abu Daud seperti berikut "Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak". 
Hadis ini adalah  untuk talak yang tanpa sebab, atau dengan kata  lain, main-main talak atau suka suka nak cuba talak.  Bagaimana pun menurut kitab Fathul bari, juz 11 halaman 271, ianya dianggap cacat kerana mursal.

Apakah mungkin Allah membenci perceraian bila dalam Q4:130 terdapat firmannya:

 "Tetapi jika keduanya bercerai, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing daripada keluasan-Nya"(Q4:130).
Allah amat memahami penderitaan yang dialami, lalu direstui-Nya perceraian. Kemudian, Dia menolong kedua-dua belah pihak. Jadi, bagaimana pula dengan banyaknya kes-kes cerai yang tidak diceraikan, atau digantung sekian lama? Tidakkah difahami penderitaan yang dilalui? Tidakkah kedua-dua belah pihak perlu ditolong?

Inilah yang pernah Puteri hujahkan dulu dengan seorang kawan di satu lawan web, berkaitan kisah realiti sikap mahkamah terhadap kes perceraian suami isteri yang digantung tak bertali. Cerai- gantung tak bertali adalah suatu KEZALIMAN, tuan-tuan. Dan orang yang zalim, harus diperangi.

Bagi peguam bela syariah dan si suami yang seperti di atas pula, Puteri ingin membawa sepotong hadis dari Bukhari  dan Muslim seperti berikut untuk santapan rohani kalian:
Ummu Salamah berkata bahawa Rasulullah mendengar pertengkaran di depan pintu bilik baginda, lalu baginda keluar menemui mereka dan berkata "AKu hanyalah seorang manusia. Kadang-kadang datang padaku prang-orang yang bersengketa. Boleh jadi sebahagian daripada kalian lebih pintar daripada sebahagian yang lain (dalam berhujah) sehingga ku mengira dialah yang benar, lalu aku mengeluarkan keputusan yang menguntungkannya. Kerana itu,  barangsiapa yang aku putuskan mendapat hak orang lain, maka ia sebenarnya tidak lain adalah secebis daripada api neraka. Jadi terserahlah kepadanya sama ada mahu mengambilnya atau membiarkannya"

Monday, October 31, 2011

Antara yang duduk dan yang berusaha

31 Oktober 2011

Memetik petunjuk dari ayat Quran 4 (An-Nisa) :95-96 seperti berikut :

Tidaklah sama antara mereka, yang duduk di kalangan mukmin kecuali yang uzur, dengan yang berusaha dalam jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berusaha dengan harta dan jiwa, atas orang-orang yang duduk, darjatnya. Dan masing-masing,  Allah menjanjikan kebaikannya, dan Allah melebihkan orang-orang yang berusaha atas orang yang duduk, pahala yang besar, beberapa derajat daripada-Nya, dan ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih..

Petunjuk dari ayat tersebut membuat saya lebih yakin bahawa cara hidup yang lebih mengharmonikan kehidupan bersama di dunia ini ialah dengan mengeluarkan sebahagian pendapatan yang mengalir melalui kita, dan diusahakan untuk tujuan keharmonian sejagat.

Seringkali disarankan dalam kitab petunjuk kehidupan itu agar jangan kikir, rajinlah bersedekah, bantulah anak yatim dan orang-orang susah dan berjuanglah ke jalan Allah. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa adalah lebih baik berusaha mengumpul sebanyak mungkin pendapatan agar dapat disumbangkan pada masyarakat dan kehidupan dunia untuk tujuan keharmonian.


Duduk diam dalam kumpulan-kumpulan tazkirah, kumpulan-kumpulan usrah, ceramah-ceramah, bukanlah satu kerja yang tidak manafaat, malah ianya adalah suatu yang baik sekiranya kumpulan-kumpulan begitu bertujuan saling ingat mengingati dan saling membuka minda untuk tujuan kebaikan kehidupan di dunia. Malah kenyataan dalam ayat tersebut di atas menyatakan ianya ada kebaikan masing-masing.

Namun, bagi yang ada kemampuan dan tidak uzur, bekerjalah dan saya katakan bekerja keraslah untuk mengumpul harta sebanyak mungkin dan kemudian sumbangkanlah dan agihkanlah harta yang kamu dapati itu untuk mereka yang uzur, yang tak mampu bekerja, kepada anak-anak yatim, orang-orang yang memelukan sokongan dan bantuan. Kerana yang demikian, Allah menjanjikan suatu darjat yang lebih mulia bagi mereka yang berusaha dari mereka yang duduk diam.

Sudah tentulah bagi yang belum tahu, mereka perlu hadir ke majlis-majlis ilmu dulu sebagai permulaan langkah, supaya harta kekayaan yang diusahakan tidak menjadi harta yang dikumpul sia-sia.

Monday, August 15, 2011

Apakah itu kebenaran?

15 Ogos 2011

Kebenaran adalah wilayah yang tidak berhad, tidak bersempadan, tiada berlorong, tiada berpeta. Ianya tidak dicapai melalui mana-mana agama, melalui mana-mana persatuan, melalui mana-mana cara/ritual tertentu atau apa saja lorongan/haluan/jalan ciptaan manusia. Kebenaran tidak berhad.

Sekiranya kebenaran dihadkan melalui jalan-jalan tertentu, ia menjadi terhad.Yang demikian, agama-agama hanya akan menghadkan kebenaran melalui cara-cara mereka yang tertentu.

Tuhan/Allah adalah kebenaran mutlak. Tuhan/Allah adalah untuk SEMUA MANUSIA sebagaimana seruan Q2:21. Bukan untuk orang-orang beragama tertentu sahaja. Bukanlah hanya kerana Q20:12 menjelaskan "Aku adalah Tuhanmu" dan Q20:14 "Sungguh, Aku adalah ALLAH", bermakna Allah adalah milik Nabi Musa sahaja. Bukan.... bukan begitu!

Jika mahu juga menyebut agama, bolehlah dikatakan saya adalah agamaku. Agamaku adalah saya. Saya bukan pemilik mana-mana agama di luar sana, kerana tidak memiliki mana-mana satu pun agama di luar sana itu.

Setiap label adalah dari fikiran, maka kita melabelkan Tuhan sebagai "ALLAH" adalah untuk tujuan kemudahan berkomunikasi sebagai rujukan/merujuk. Sedangkan Tuhan sebenar ialah "yang tidak diketahui/dikenali", hanya dapat dirasai melalui kata-kata yang tidak terluah, yang tidak dapat digambarkan melalui kata-kata apa sekalipun. Allah suci dari tamsilan manusiawi. Kerana itulah, sejauh mana pun kita cuba berhujah berkaitan Tuhan, ianya adalah dari fikiran yang terhad dan berputar-putar(tawaf) di situ juga.

Mempelajari Quran, adalah untuk mempelajari MORAL kehidupan di dunia (Quran - KITAB PETUNJUK), agar hidup saling aman damai, agar hidup kita yang sementara ini dini'mati bersama dalam kebahagiaan, dalam keamanan, dalam pembangunan, dalam kemajuan, sambil mengekalkan keharmonian kehidupan, sebelum kita kembali pada Allah.

"Truth is a pathless land"

Thursday, August 11, 2011

Persaingan atau tanggungjawab

11 OGOS 2011

Kalau memilih hidup hanya menurut perspektif persaingan sahaja, ianya akan mendorong diri kepada kancah perselisihan dan persengketaan sentiasa. Seorang yang memilih hidup sebagai persaingan, akan sentiasa merasa terancam yang mewujudkan rasa takut dalam dirinya - takut pasangannya diambil orang, takut kehilangan, takut kekurangan dll. Dia tidak tenteram.

Rasa takut ini akhirnya mendorong manusia menjadi ganas dan zalim. Mereka tidak melihat kekurangan diri sebagai keperluan untuk melipatgandakan usaha untuk menambah-baiki diri, tapi rasa takut mereka itu mendorong mereka meragut kebebasan orang lain, membentes orang yang dilihat sedang berlari di hadapannya agar jatuh tersungkur atau sekaligus mati disitu, mereka puas dengan cara begitu.

Mereka ini adalah sebagaimana dicontohkan dalam Quran 2:85 (sila rujuk) sebagai Bani Israel, yang membunuh sesama sendiri, mengusir segolongan dari mereka dari kampung halamannya, membantu mereka dalam kejahatan(seperti sihir dll) dan permusuhan. Perkataan "membunuh" itu selain diertikan sebagai senjata yang mengakibatkan nyawa terpisah dari tubuh seseorang, ia juga boleh diertikan sebagai membunuh kerjaya seseorang atau membunuh perjuangan seseorang.  Sahsiah yang ingin ditonjolkan dalam ayat ini ialah rasa takut kepada pesaing itu menjadikan seseorang menjadi zalim dan ganas seperti Israel.  

Orang yang tidak takut, dia akan melihat kewujudan apa yang mereka namakan sebagai "pesaing" itu, sebagai satu bench-mark untuk menilai kekurangan diri. Dia akan melihat kemunduran diri adalah suatu tanggungjawab untuk memperbaiki dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain untuk mesti memihak kepadanya, tunduk dan patuh kepadanya atau memenuhi kehendak-kehendaknya. Yang demikian dia bebas dari rasa sengketa dan perselisihan tapi penuh rasa tanggungjawab pada diri.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya, seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya, seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Tapi jika mereka adalah orang yang cukup bertanggungjawab, dengan sendirinya orang sekelilingnya itu tadi akan taat, setia dan hormat kepada mereka.

Saturday, August 6, 2011

maksud FITNAH

 6 OGOS 2011

Perihal fitnah telah disebut 2 kali dalam Quran (2:191 & 2:217) - "FITNAH itu lebih kejam dari pembunuhan"

Mainstream masyarakat Melayu memahami FITNAH sebagai TUDUHAN sahaja, namun maksudnya jauh lebih luas dalam bahasa Arab.

Menurut tafsir,  FITNAH ialah menimbulkan kekacauan, seperti:
1. mengusir sahabat dari kampung halamannya
2. merampas harta
3. menyakiti atau mengganggu kebebasan seseorang dalam beragama (dalam islam)
4. Penyiksaan/serangan (fizikal/mental/emosi) terhadap orang yang beriman untuk melakukan kebajikan
5. Usaha untuk memurtadkan orang Islam
6. mewujudkan suasana masyarakat yang rosak/menyeleweng dengan hasutan/mengada-adakan cerita
7. sihir

Imam Jalaluddin AsSuyuthi di dalam kitabnya 'AL-ITQAN' menyebut bahawa kalimah FITNAH digunakan di dalam Al-Quran dengan 15 maksud.

Dari sudut bahasa arab pula, kalimah FITNAH mempunyai banyak maksud. (Lihat Qamus Muhith ms 1100) atau mana-mana kamus online, google translate atau mana-mana yang anda yakini/senangi. Saya sendiri gunakan beberapa kamus untuk rujukan/cross check dan salah satu  darinya ialah http://dictionary.sakhr.com.

Yang demikian, haruslah kita semak semula perbuatan/kelakuan kita sehari-hari, apakah pernah kita melakukan FITNAH terhadap orang lain, justeru bertaubatlah, demi keharmonian hidup sebagaimana saranan KITAB PETUNJUK itu (QURAN).

Bagi yang merasa ragu tentang hujahan saya pada perkataan ini (kerana ianya dibentangkan oleh saya yang tidak berkelulusan tinggi dalam agama), bolehlah lanjutkan pertanyaan tentang maksud perkataan ini kepada mana-mana pakar bahasa arab dan juga tok guru tok guru anda. Saya sedia diperbetulkan jika saya tersilap.

Seterusnya, ayat 2:193 memerintahkan "Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah". Yang demikian, mereka yang mengadakan KEKACAUAN atau FITNAH itu, boleh diperangi.

Ayat 2:194 mengajarkan tahap mana mereka itu harus diperangi - "Siapa yang memerangi kamu, maka seranglah dia setimpal dengan serangannya terhadap kamu".

Suka saya kongsikan di sini bahawa perkataan "perang" janganlah anda sempitkan maksudnya sekadar perang yang menggunakan senjata atau bahan letupan aje.

Sebagai penutup suka saya ingatkan diri saya "Aku milik Allah, bukan milik sesiapa didunia ini (meski apa pun tali persaudaraan/tali ikatan semasa hayatku ini). Dan hanya kepadaNYA aku akan kembali. "

-----------------------
Rujukan.
Al-Quran
Tafsir Ibnu Kathir Jil 1 ms 243, 315
Tafsir Al-Qurthubi Jil 2 ms 351
Tafsir Munir Jil 2 ms 175, 258
Tafsir Nasafie Jil 1 ms 139
Mukhtasor Tafsir Al-Khazin Jil 1 ms 112
Tafsir Fi Zilalil Quran Jil 1 ms 119
Al-Itqan Jil 1 ms 409
Qamus Al –Muhith ms 1100

Monday, July 18, 2011

Mengamati fikiran

18 Julai 2011

Tahu tak apa itu "duduk diam"?

Kalau tak tau, itu lebih baik Sebab bila tak tau apa-apa, kita boleh belajar, kita boleh mempelajarinya.

Macamlah kalau orang tak faham bahasa Prancis, Latin atau Itali. Sebab tak tau le, kita leh belajar; kita leh belajar seolah-olah untuk pertama kalinya. Mereka yang dah tahu apa itu "duduk diam", harus menghapus pengetahuannya dan kemudian baru leh belajar. Nampak tak bezanya?

Untuk mempelajari "duduk diam", kita harus melihat bagaimana batin kita bekerja. Kita harus mengamati, seperti kita mengamati seekor cicak merayapi dinding. Kita melihat keempat-empat kakinya, bagaimana ia melekat pada dinding itu, dan selagi kita mengamati, kita melihat semua geraknya. Kita mengamati dalam keadaan batin yang diam. Macam tu la kita mengamati fikiran kita. Bukan dengan upaya untuk memperbaiki. Bukan dengan usaha. Amati aje.

Bagaimana kalau saya beri sedikit bantuan permulaan?

Mula-mula, duduklah diam dengan rehat sekali. Duduklah dengan santai, bersila ke atas kerusi ke, duduk tahiyat ke, tak kisahlah asal selesa. Duduklah dengan diam samasekali, tutup mata anda, dan jagalah agar mata anda tak bergerak-gerak. Boleh? Bola mata kita memang cenderung untuk bergerak, tapi kali ni, jagalah supaya ia diam sama sekali, cubalah.....

Pastu, selagi anda duduk dengan tenang sekali, discover apa yang fikiran anda sedang lakukan. Amatinya seperti anda mengamati cicak tu tadi. Tapi kali ini, amatilah fikiran anda, amati bagaimana sebuah fikiran itu berlari, bergerak, bekerja kemudian tiba-tiba muncul fikiran yang lain, lepas satu, satu. Cara ini, anda sedang mengamati fikiran.

Nampak tak bagaimana kita mengamati fikiran kita -  bagaimana fikiran yang satu mengejar fikiran lain, sampai fikiran itu sendiri berkata, “Ini fikiran baik, itu fikiran buruk”?

Pastu bila dah biasa, cubalah amati fikiran anda, bila nak tidur waktu malam, bila sendang berjalan. Amati aje fikiran anda, jangan cuba memperbaikinya, jangan cuba perah ia, dan amalan begini, anda mulai mempelajari awalan "duduk diam".  Sekali anda mulai belajar, belajar itu tidak ada akhirnya.

Saturday, July 9, 2011

perginya seorang wira

6 JULAI 2011

Tanpa saya sedari, rupanya dah berbulan lamanya saya tak update blog ni.

Dalam keadaan kesihatan saya yang tak begitu baik sejak akhir-akhir ini, rupanya saya kehilangan seorang sahabat yang saya anggap wira dalam dunia ini, rupanya dia yang pergi dulu. Seorang sahabat yang bersedia marah dan memaki saya dengan sungguh ikhlas sekali. Seorang sahabat yang akan mengherdik saya setiap kali saya lalai. Seorang sahabat yang akan memuji saya dan menghagai saya dengan sungguh ikhlas sekali.

Dialah sahabat sejati saya yang pernah muncul dalam perjalanan hidup saya. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi menangis setiap kali saya teringatkan kenangan  suka duka bersama dia. Tangisan yang bukan disengajakan, tapi setiap detik kenangan bersamanya, membuat saya merasa kehilanganya.

Seorang sahabat yang membuka minda saya dari jumud kepada merdeka. Seorang sahabat yang membebaskan saya dari belenggu ketakutan dan keperitan hidup. Seorang sahabat yang akan menegur saya setiap kali saya tersasar dari jalan yang lurus. Seorang sahabat yang akan memaki saya bila saya terumbang ambing tidak berada dalam alam sedar.

Saya tak tau apakah pemergiannya dalam keadaan saya sudah bersedia mengharungi hidup sendiri tanpa makian darinya bila saya tersasar. Saya tak tau apakah pemergiannya dalam keadaan saya sudah bersedia untuk hidup sendiri tanpa herdikan-herdikan kesedaran darinya bila saya "tak sedar".

Saya sungguh merinduinya. Walaupun dia kini telah berubah bentuk yang tak dapat lagi saya dengar suaranya dari bibirnya, yang tak dapat lagi disentuh fizikalnya, yang tak dapat lagi saya lihat senyum dan bengisnya, .... di kedalaman lubuk hati saya, saya tetap akan berusaha berhubungan dengannya dalam keheningan diri.

Buat sahabat wira ku,
Belum ada lagi seorang manusia yang aku jumpa seikhlas dirimu, yang menghargai diri ini sebagaimana kau menghargai aku. Kau tentu bahagia dengan bentuk barumu dari menderita dalam tubuh yang lusuh itu. Aku pasti sentiasa bersama mu, sahabatku.Kau lah wira, pemergianmu adalah satu kehilangan besar buat dunia... namun perjuanganmu akan ku teruskan selagi kudratku ada dalam bentuk apa pun jua yang termampu olehku. Kau telah mendidik aku dengan berbagai kepayahan agar aku tidak rentan menghadapi dugaan. Kini akan ku teruskan dan membuktikan latihan yang kau berikan selama ini bukanlah latihan angan-anganan.

Aku teringat kata-katamu padaku sekitar tahun 2008.
"Arif-billah dalam jalan nabi-nabi adalah sukar dicari. Kadang kala dalam satu wilayah yang besar hanya ada satu. Arif-billah ini tidak ada apa-apa gelaran dan selalunya bersendirian (tanpa institusi) serta susah dikenali. Dia mengajar manusia mengenal Allah swt (makrifatullah) menerusi cakap-cakap dan kekata sahaja. Tidak langsung diajarkan di merata tempat di bumi Allah. Tidak ada institusi pelajaran yang tetap bagi Arif-billah dalam jalan ini. Dalam kekata dan cakap-cakapnya, Arif-billah tanpa niat akan membuka "pintu" makrifatullah kepada mereka yang ikhlas tanpa waham pada diri dia. Maka tak hairanlah ada yang mendapat dan juga sebaliknya. Allah menjadikan alat "zhanni" untuk kezhannian adanya. Waspadalah ke jalan Allah.. subhanallah"