Monday, October 31, 2011

Antara yang duduk dan yang berusaha

31 Oktober 2011

Memetik petunjuk dari ayat Quran 4 (An-Nisa) :95-96 seperti berikut :

Tidaklah sama antara mereka, yang duduk di kalangan mukmin kecuali yang uzur, dengan yang berusaha dalam jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berusaha dengan harta dan jiwa, atas orang-orang yang duduk, darjatnya. Dan masing-masing,  Allah menjanjikan kebaikannya, dan Allah melebihkan orang-orang yang berusaha atas orang yang duduk, pahala yang besar, beberapa derajat daripada-Nya, dan ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih..

Petunjuk dari ayat tersebut membuat saya lebih yakin bahawa cara hidup yang lebih mengharmonikan kehidupan bersama di dunia ini ialah dengan mengeluarkan sebahagian pendapatan yang mengalir melalui kita, dan diusahakan untuk tujuan keharmonian sejagat.

Seringkali disarankan dalam kitab petunjuk kehidupan itu agar jangan kikir, rajinlah bersedekah, bantulah anak yatim dan orang-orang susah dan berjuanglah ke jalan Allah. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa adalah lebih baik berusaha mengumpul sebanyak mungkin pendapatan agar dapat disumbangkan pada masyarakat dan kehidupan dunia untuk tujuan keharmonian.


Duduk diam dalam kumpulan-kumpulan tazkirah, kumpulan-kumpulan usrah, ceramah-ceramah, bukanlah satu kerja yang tidak manafaat, malah ianya adalah suatu yang baik sekiranya kumpulan-kumpulan begitu bertujuan saling ingat mengingati dan saling membuka minda untuk tujuan kebaikan kehidupan di dunia. Malah kenyataan dalam ayat tersebut di atas menyatakan ianya ada kebaikan masing-masing.

Namun, bagi yang ada kemampuan dan tidak uzur, bekerjalah dan saya katakan bekerja keraslah untuk mengumpul harta sebanyak mungkin dan kemudian sumbangkanlah dan agihkanlah harta yang kamu dapati itu untuk mereka yang uzur, yang tak mampu bekerja, kepada anak-anak yatim, orang-orang yang memelukan sokongan dan bantuan. Kerana yang demikian, Allah menjanjikan suatu darjat yang lebih mulia bagi mereka yang berusaha dari mereka yang duduk diam.

Sudah tentulah bagi yang belum tahu, mereka perlu hadir ke majlis-majlis ilmu dulu sebagai permulaan langkah, supaya harta kekayaan yang diusahakan tidak menjadi harta yang dikumpul sia-sia.