Saturday, August 6, 2011

maksud FITNAH

 6 OGOS 2011

Perihal fitnah telah disebut 2 kali dalam Quran (2:191 & 2:217) - "FITNAH itu lebih kejam dari pembunuhan"

Mainstream masyarakat Melayu memahami FITNAH sebagai TUDUHAN sahaja, namun maksudnya jauh lebih luas dalam bahasa Arab.

Menurut tafsir,  FITNAH ialah menimbulkan kekacauan, seperti:
1. mengusir sahabat dari kampung halamannya
2. merampas harta
3. menyakiti atau mengganggu kebebasan seseorang dalam beragama (dalam islam)
4. Penyiksaan/serangan (fizikal/mental/emosi) terhadap orang yang beriman untuk melakukan kebajikan
5. Usaha untuk memurtadkan orang Islam
6. mewujudkan suasana masyarakat yang rosak/menyeleweng dengan hasutan/mengada-adakan cerita
7. sihir

Imam Jalaluddin AsSuyuthi di dalam kitabnya 'AL-ITQAN' menyebut bahawa kalimah FITNAH digunakan di dalam Al-Quran dengan 15 maksud.

Dari sudut bahasa arab pula, kalimah FITNAH mempunyai banyak maksud. (Lihat Qamus Muhith ms 1100) atau mana-mana kamus online, google translate atau mana-mana yang anda yakini/senangi. Saya sendiri gunakan beberapa kamus untuk rujukan/cross check dan salah satu  darinya ialah http://dictionary.sakhr.com.

Yang demikian, haruslah kita semak semula perbuatan/kelakuan kita sehari-hari, apakah pernah kita melakukan FITNAH terhadap orang lain, justeru bertaubatlah, demi keharmonian hidup sebagaimana saranan KITAB PETUNJUK itu (QURAN).

Bagi yang merasa ragu tentang hujahan saya pada perkataan ini (kerana ianya dibentangkan oleh saya yang tidak berkelulusan tinggi dalam agama), bolehlah lanjutkan pertanyaan tentang maksud perkataan ini kepada mana-mana pakar bahasa arab dan juga tok guru tok guru anda. Saya sedia diperbetulkan jika saya tersilap.

Seterusnya, ayat 2:193 memerintahkan "Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah". Yang demikian, mereka yang mengadakan KEKACAUAN atau FITNAH itu, boleh diperangi.

Ayat 2:194 mengajarkan tahap mana mereka itu harus diperangi - "Siapa yang memerangi kamu, maka seranglah dia setimpal dengan serangannya terhadap kamu".

Suka saya kongsikan di sini bahawa perkataan "perang" janganlah anda sempitkan maksudnya sekadar perang yang menggunakan senjata atau bahan letupan aje.

Sebagai penutup suka saya ingatkan diri saya "Aku milik Allah, bukan milik sesiapa didunia ini (meski apa pun tali persaudaraan/tali ikatan semasa hayatku ini). Dan hanya kepadaNYA aku akan kembali. "

-----------------------
Rujukan.
Al-Quran
Tafsir Ibnu Kathir Jil 1 ms 243, 315
Tafsir Al-Qurthubi Jil 2 ms 351
Tafsir Munir Jil 2 ms 175, 258
Tafsir Nasafie Jil 1 ms 139
Mukhtasor Tafsir Al-Khazin Jil 1 ms 112
Tafsir Fi Zilalil Quran Jil 1 ms 119
Al-Itqan Jil 1 ms 409
Qamus Al –Muhith ms 1100

4 comments:

  1. Salam,

    Asas kepada berlakunya fitnah apabila seseorang itu suka berdusta. Bila tiada lagi perasaan takut untuk mengada-adakan cerita, apatah lagi cerita yang memburuk-buruk individu tanpa sebarang bukti, maka bermulalah penyakit fitnah.

    Ramai orang suka mengada-adakan cerita tentang seseorang nabi terdahulu untuk menghalal/membenarkan segala perbuatan buruk mereka. Mereka tidak sedar itu akan mendatangkan fitnah kerana mana mungkin seorang nabi terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermanfaat.

    Menyuburkan masyarakat dengan sikap suka menyelidik dan mengkaji dahulu sesuatu yang didengar atau dilihat dapat menyempitkan ruang fitnah untuk berleluasa. Sikap suka membezakan benar dan palsu dapat menjauhkan diri daripada sebarang bentuk fitnah.

    Katakan tidak pada dusta dan fitnah.

    ReplyDelete
  2. SIKAP tak suka menyemak dan menyelidik terlebih dahulu sebelum bertindak ini, pernah Allah tegur dalam Quran sebagaimana dalam Surah An-Nur 11-20.

    Menurut Asbabun Nuzul oleh Imam as-Suyuthi, wahyu ini diturunkan bilamana Aisyah r.a difitnahkan sehingga Rasulullah pun percaya akan fitnah tersebut. Memandangkan Rasulullah pun percaya akan fitnah atas Aisyah r.a itu, maka Aisyah pulang ke rumah ibubapanya sehingga lebih kurang sebulan lamanya. Aisyah menangis siang dan malam kerana fitnah yang tersebar atas dirinya sehingga Rasulullah sendiri percaya akan berita yang didengari lantas meminggirkannya.

    Suatu ketika, Rasulullah datang menjenguk Aisyah dan berkata "Aisyah, aku telah mendengar berita tentang dirimu. Jika kau tak bersalah, Allah pasti akan membersihkan namamu. Namun, jika kau bersalah minta ampunlah pada Allah dan bertaubatlah, kerana Allah pasti menerima taubat orang-orang yang menginsafi dosa-dosanya."

    Mendengarkan itu, Aisyah bertambah pilu dan hiba kerana kata-kata Rasulullah sungguh menyangka yang Aisyah telah berbuat dosa. Dalam sebak, Aisyah berkata "Demi Allah, aku tahu kau telah mendengar berita ini, dan jika aku berkata yang aku bersih dari tuduhan itu, dan Allah tahu bahawa aku bersih dari semua tuduhan ini, kau pasti tak mempercayai aku, kerana berita itu telah sungguh membuat kau percaya". Lalu Aisyah terus kembali ke biliknya dan berbaring serta berserah kepada Allah mengharap Allah akan membersihkan nama baiknya.

    Tak lama kemudian, Allah menurunkan wahyu Surah An-Nur 11-20 pada Rasulullah. Rasullullah pun kembali pada Aisyah dan berkata" Bergembiralah Aisyah, Allah telah membersihkanmu". Ibu Aisyah yang telah mendengar kata-kata Rasulullah pun berkata pada Aisyah "Bangunlah dan temuilah Rasulullah". Aisyah yang masih retak hatinya, berkata "Aku takkan pergi menemuinya. Aku hanya bersyukor pada Allah yang telah menurunkan ayat-ayat yang menyatakan bahawa aku tak bersalah".

    Bagi yang memilih untuk tidak mempercayai sejarah penurunan ayat dari kitab imam-imam atau asbabun nuzul, dari pemahaman tersendiri ayat An-Nur 11-20 pun kita boleh faham akan saranan/perintah MENYIMAK atau MENYELIDIK atau MENGKAJI terlebih dahulu, agar tidak terjadi FITNAH atau KEKACAUAN/KEROSAKAN dalam masyarakat.

    ReplyDelete
  3. Subhanallah, elok nian blog ini, semoge sang writter/posting memperoleh sama berkah dari Allah, dan yang membacanye saja bisamemperoleh ilmu. Jazakumullah khairan katsiro.

    ReplyDelete