Sunday, May 27, 2012

Mendidik agar diri bertanggung jawab

Tarikh asal saya menulis topik ini ialah 20 hb Ogos 2011.
Bagaimana pun ia terletak lama dalam kotakdraf saya, sehinggalah saya meneliti semula semua kotak yang ada pada hari ini , 27hb Mei 2012


Kita boleh mula memupuk rasa tanggungjawab dalam diri kita dan diri anak-anak dengan memperkenalkan tanggungjawab pada perkara-perkara yang ada di sekeliling kita dan kebiasaan dalam kehidupan seharian kita seperti:

1) Setiap orang yang selesai makan, bertanggungjawablah untuk membersihkannya sendiri.
2) Setiap orang yang bangun tidur, bertanggungjawablah mengemaskan tempat tidur sendiri
3) Setiap orang yang membuat kerja-kerja yang menghasilkan sampah, bertanggungjawablah membuang sampah-sampah ke dalam tong sampah.
4) Setiap orang yang masuk tandas, bertanggungjawablah membersihkan tandas sebelum keluar.
5) Setiap orang yang mengambil buku untuk di baca, bertanggungjawablah meletakkan semula ke tempat asalnya sesudah baca.

Masyarakat adalah himpunan dari individu. Yang demikian, nampak tak, kalau setiap individu sudah ada rasa tanggungjawab pada diri, dan sikap bertanggungjawab ini telah terpupuk ke dalam diri masing-masing, banyak masalah masyarakat yang kita lihat hari ini dapat diselesaikan.



FIKIRAN DAN PERJALANAN HIDUP

27 Mei 2012

Manusia dengan daya fikirannya telah mencipta komputer, telah berjaya ke dasar lautan dan meneroka isi bumi, telah berjaya ke angkasa lepas dan melakukan banyak lagi perkara perkara luarbiasa di luar dirinya sendiri. 

Namun, masih belum mampu menjelajahi kedalaman dirinya sendiri.

Nampaknya, perjalanan menuju bulan lebih dekat daripada perjalanan ke dalam diri sendiri. Tidak ramai orang yang mahu melakukan perjalanan ke dalam diri sendiri kerana ia tidak memerlukan apa-apa pun selain PERHATIAN. 

Ye.... perhatian penuh  setiap saat untuk mendengarkan dan melihat setiap gerak fikiran dan perasaan dengan tepat, tanpa penyimpangan dari pengaruh apa pun.

Tuesday, February 14, 2012

Cerai - gantung tak bertali

Dah lama Puteri memerhatikan nasib wanita Islam di Malaysia ni yang kian hari kian terjerut dek fahaman yang, entah sedar atau tidak, menindas kaum wanita. Mahu kembali ke zaman jahiliyah ke kita ni?

Penat aje usaha Rasulullah mengangkat martabat dan maruah wanita dalam masyarakat, sebagai satu cara hidup Islam, dan tinggalkan cara hidup jahiliyah, tapi apa yang berlaku di akhir zaman ini, manusia kembali kepada jahil. Puteri teringat ayat Quran yang Puteri pernah baca, terjemahnya lebih kurang begini : 
"Apakah hukum jahiliyah yang mereka cari? Dan siapakah lebih baik dari Allah, hukumnya, bagi kaum yang yakin?"(Q5:50)

Dalam Quran terdapat beberapa tempat ditunjukkan akan tatacara menjalankan hukuman agar kita keluar dari kegelapan hukum jahiliyah sehingga kita mendapat nur cahaya jalan yang lurus.

Merujuk kepada artikel dalam suratkhabar, yang dipaparkan di sini, dan atas cadangan sahabat Puteri, Jebon, Puteri berminat untuk menulis berkaitan artikel ini.

Seperti kisah dalam artikel itu, dah biasa Puteri dengar, bila kes cerai luar mahkamah dibawa ke dalam mahkamah, ramai sekali suami yang "U-turn", iaitu bermati-matian menafikannya, mungkin sebab tak mahu bayar denda RM1000 kerana lafaz cerai luar mahkamah. Maka, bermulalah kisah sadis wanita bergelar isteri itu yang terpaksa turun naik mahkamah bertahun-tahun kerana mahu pihak berkuasa mengesahkan lafaz cerai tersebut, dek ego lelaki yang tak mahu mengaku lafaznya yang hanya didengari oleh isteri.

Bayangkan penderitaan yang wanita itu terpaksa tempuhi. Suami mudah aje, dalam masa duduk berasingan dengan isteri sementara menunggu keputusan mahkamah yang makan bertahun-tahun itu, entah-entah dah nikah seorang lagi di seberang sempadan. Maklumlah, suami boleh poligami. Isteri bagaimana? Bukankah satu kezaliman tu sengaja melewat-lewatkan dan membuat seorang manusia dalam penasaran? 

Alasan tak ada saksi, sungguh tak menasabah. Ada ke sempat nak cari saksi dulu nak ceraikan isteri dalam keadaan marah tu?

Hanya kerana dia seorang wanita, yang dicipta dengan sifat lemah lembut, mereka ambil sambil lewa aje keadilan terhadap wanita. Mengapa takut nak ubah sistem mahkamah yang jelas sekali banyak meremehkan kes sehingga berlakunya apa yang dikata gantung tak bertali? Seharusnya mahkamah perlu prihatin kes begini untuk elakkan masalah gantung tak bertali yang lebih lama lagi. Sudahlah kawan tu digantung tak bertali oleh suami, mahkamah pun turut serta menggantung kes dia sampai bertahun-tahun lagi. Pertimbangan beginikah yang dikatakan adil? Kalau kerana denda RM1000 kerana lafaz cerai luar mahkamah tu membawa banyak mudharat dari memberi keadilan, ubahlah hukuman itu, semoga tanpa denda, suami tak ragu2 lagi untuk mengaku. Isteri pun tak kena belitan naga sakti pembohongan suami. Perlu pertimbangkan, kemaslahatan umum, bukan sekadar meraih pendapatan institusi. Meskipun Puteri faham hasrat mendenda itu supaya suami tidak sewenangnya melafazkan cerai pada isteri, namun realitinya, tidak semua manusia tu sesabar kakitangan mahkamah syariah yang sanggup mengunci lidah. Sebahagian mereka jahil akan wujudnya undang2 begitu kerana tidak ada dalam hukum hakam kitab Fiqh. Realitinya sekarang, setelah dikuatkuasakan, ianya lebih banyak memberi masalah kepada isteri yang dianiaya oleh suami yang jenis tak nak mengaku, yang mengakibatkan gantung tak bertali. Demi kemaslahatan umum, Puteri merayu, runtuhkanlah ego dengan mempertimbangkan untuk mengubahnya semula.

Bayangkan, makin lama ditangguh-tangguh, tubuh makin dimamah usia. Nak kawin lain tak boleh, sebab agama Islam yang mereka ceramahkan kata, wanita tak boleh polyandri macam lelaki yang boleh poligami. Jadi, seorang wanita yang berkahwin, kalau suami tak ceraikannya, sampi mati pun tak boleh kawin lagi. Inikah cara hidup yang tuan-tuan katakan ISLAM? Maaf, Islam yang Puteri yakini tidak menzalimi dan tidak menganiayai sesiapa.

Peraturan-peraturan yang tidak menasabah seperti nak cari saksi yang mendengar lafaz cerai perlu diubah kepada pembuktian yang lebih relevan. Mengapa tak mahu ubah peraturan sebegitu? Sikap takut untuk mengubah sistem/konsep/birokrasi sedia ada di mahkamah syariah yang melecehkan, sehingga membuat masyarakat teraniaya, mana lebih buruk? Sedangkan, diantara ciri syariat Islam ialah mudah dan memberikan kemudahan dalam segala urusan kehidupan.

Menjadi isteri, seperti tidak ada jalan keluar bagi masalah rumahtangga Islam di Malaysia. Lebih sadis bila ada yang menganggap wanita berkahwin, sebagai pekerja rumahtangga. Mereka menganggap seorang wanita yang telah bersetuju untuk berkahwin, ibarat pekerja yang terikat dengan perjanjian. Huh! sungguh, manusia telah kembali kepada hukum jahiliyah.

Apakah mahkamah tidak lagi mengambil kira sikap suami serta peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam rumahtangga yang menjurus kepada perceraian? Pengaduan isteri yang mengadu akan derita yang dialaminya, apakah tidak lagi perlu dilihat sebagai kuatnya hujah lebih baik bercerai dari hidup tidak sefahamanan? Apakah mahkamah hanya mengambil kira sumpah suami yang bersumpah (entah bohong entah tidak)? Inikah hasil didikan agama yang tidak menggalakkan menggunakan akal tapi taklid  pada hukum statik, tanpa perlu dihujahkan kerasionalannya? Inikah tahap pemikiran para pemuka keadilan di Mahkamah Syariah Malaysia? Jelas sekali kita perlukan satu anjakan paradigma. Kita perlukan gelombang baru. Pilihlah samada mahu berjinak-jinak dengan gelombang baru atau mahu gelombang tsunami yang merubahnya.

ISLAM adalah untuk semua, bukan untuk orang-orang beragama Islam sahaja. Mengapa masih takut untuk menyatukan sistem kehakiman syariah dan sivil? Kalau kerana berbeza sistem perundangan, kajilah mana yang lebih adil dan lebih realistik. Sunnatullah adalah hukum alam yang logik dan seimbang. Kalau mahkamah syariah merasa inferior bila bergabung dengan mahkamah sivil, pasti ada sesuatu yang tak kena. Seharusnya hukum Allah mengatasi segala sesuatu dan sesuai untuk manusia sejagat, barulah ISLAM itu dihormati semua dan mereka akur dan setuju berlindung di bawah perlembagaan ISLAM. Renungkanlah sahabat!!!

Mungkin fahaman yang disebar luas bahawa Allah benci perceraian, adalah berdasarkan dari sepotong hadis
 riwayat Abu Daud seperti berikut "Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak". 
Hadis ini adalah  untuk talak yang tanpa sebab, atau dengan kata  lain, main-main talak atau suka suka nak cuba talak.  Bagaimana pun menurut kitab Fathul bari, juz 11 halaman 271, ianya dianggap cacat kerana mursal.

Apakah mungkin Allah membenci perceraian bila dalam Q4:130 terdapat firmannya:

 "Tetapi jika keduanya bercerai, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing daripada keluasan-Nya"(Q4:130).
Allah amat memahami penderitaan yang dialami, lalu direstui-Nya perceraian. Kemudian, Dia menolong kedua-dua belah pihak. Jadi, bagaimana pula dengan banyaknya kes-kes cerai yang tidak diceraikan, atau digantung sekian lama? Tidakkah difahami penderitaan yang dilalui? Tidakkah kedua-dua belah pihak perlu ditolong?

Inilah yang pernah Puteri hujahkan dulu dengan seorang kawan di satu lawan web, berkaitan kisah realiti sikap mahkamah terhadap kes perceraian suami isteri yang digantung tak bertali. Cerai- gantung tak bertali adalah suatu KEZALIMAN, tuan-tuan. Dan orang yang zalim, harus diperangi.

Bagi peguam bela syariah dan si suami yang seperti di atas pula, Puteri ingin membawa sepotong hadis dari Bukhari  dan Muslim seperti berikut untuk santapan rohani kalian:
Ummu Salamah berkata bahawa Rasulullah mendengar pertengkaran di depan pintu bilik baginda, lalu baginda keluar menemui mereka dan berkata "AKu hanyalah seorang manusia. Kadang-kadang datang padaku prang-orang yang bersengketa. Boleh jadi sebahagian daripada kalian lebih pintar daripada sebahagian yang lain (dalam berhujah) sehingga ku mengira dialah yang benar, lalu aku mengeluarkan keputusan yang menguntungkannya. Kerana itu,  barangsiapa yang aku putuskan mendapat hak orang lain, maka ia sebenarnya tidak lain adalah secebis daripada api neraka. Jadi terserahlah kepadanya sama ada mahu mengambilnya atau membiarkannya"