Thursday, February 24, 2011

"I CANNOT KNOW THE UNKNOWN IF TO THE KNOWN I CLING"

24 FEBRUARY 2011

Kali ini Puteri ingin membincangkan petikan ayat MLT yang didedahkannya dalam blog Puteri seperti tajuk di atas. Mari kita post-mortem...

"I CANNOT KNOW THE UNKNOWN IF TO THE KNOWN I CLING"
Terjemahan Puteri : Saya tidak boleh tahu/kenal apa yang saya tak tahu/tak kenal  jika saya bergantung pada yang tahu/kenal

Falsafah ini sungguh dalam dan bila Puteri renungkan apakah ianya sesuai dalam kehidupan manusia, apa yang Puteri dapati ialah ianya sungguh benar dan sesuai sekali (setidak-tidaknya buat diri Puteri).

Jika naluri kita digerakkan untuk mencari tahu akan sesuatu perkara, hormatilah ia, dan dalam mencari tahu itu, jangan lah kita CLING pada apa yang sebelumnya telah diberitahu kepada kita, pada apa yang telah diketahui sahaja. Kalau kita CLING, bukan ke itu namanya PENGIKUT? Jadi, untuk merasakan sendiri KEBENARAN akan sesuatu perkara, kita tak boleh CLING/bergantung pada apa yang diketahui, kita perlu BEBASkan diri, merdeka dari segala doktrin yang ada, kemudian alaminya. Pengalaman yang kita perolehi dari MERDEKA dari semua pengaruh itu, itulah kebenaran sejati.

Kebenaran ialah dengan mengalaminya sendiri. Selain itu, hanya infomasi-infomasi, maklumat-maklumat yang dikumpul. Kebenaran orang lain belum tentu bersamaan dengan kebenaran diri kita sendiri.  Nabi Ibrahim dan Nabi Musa mengamalkan berserah pada Allah, bukan bergantung pada apa yang telah diketahui. Selagi CLING pada yang telah kita ketahui, kita tak akan dapat tahu apa yang kita belum tahu, kerana masih ada prejudis dari pengaruh-pengaruh yang telah kita tahu sebelumnya.

Kebenaran begitu halus, tak boleh dikenali oleh batin yang tidak bebas dari segala pendapat, penilaian, pembandingan, kesimpulan. Untuk melihat yang palsu sebagai palsu dan yang benar sebagai benar, batin mesti bebas dari beban pengaruh ajaran apapun. Kebanyakan orang mengikuti suatu teori, keyakinan, kepercayaan, dogma, atau ajaran tertentu bukan kerana melihat sendiri kebenarannya.

Jangan menerima begitu aje suatu ajaran hanya kerana ianya sudah lama didengar, dah menjadi tradisi turun-temurun, karena dah banyak diperbincangkan atau diikuti ramai orang, sekalipun kerana dikatakan ianya tertera dalam Kitab Suci. Begitu juga jangan menolak begitu aje ajaran yang baru didengar hanya kerana ia bukan tradisi atau ianya tak diterima majoriti atau pun kerana ianya tak tertulis dalam Kitab Suci.

Bila kita mendengar suatu ajaran, kita perlu melihat isinya, melihat ajaran sebagai ajaran, perlu menyelami atau menyelidiki dengan batin yang bebas. Batin tak boleh cepat-cepat menerima atau menolak. Kebenaran bukan dari siapa yang berkata atau bagaimana latarbelakang pembawanya samada dia itu specialist dalam bidang apa, bukan. Tapi kebenaran adalah penemuan sendiri. Kebenaran yang sesungguhnya berada di luar lingkup apa saja yang dikenal atau yang kita tahu, tanpa pengaruh fikiran, tanpa pengaruh doktrin terdahulu, tanpa pengaruh tradisi, tanpa pengaruh fahaman.

Siapa yang melihat ajaran sebagai ajaran, dia melihat kebenaran. Kebanyakan orang tak melihat kebenaran ini dan melekat/CLING pada pengalaman, teori, agama, peraturan, ritual, dogma, kepercayaan dll. Orang buta hanya mengikuti cara berdoa, ber-ritual dan dogma, tetapi tidak melihat kebenaran. Banyak orang mempunyai mata, tetapi tidak melihat; memiliki telinga tapi tidak mendengar.

Kebenaran yang sejati hanya boleh dialami secara langsung, bukan melalui orang lain, bukan melalui pengetahuan, bukan melalui kepercayaan.

Tuesday, February 1, 2011

Fikiran dan Perasaan/Emosi

1 FEBRUARI  2011

Perasaan marah, sedih, suka, benci, seronok, takut, seringkali silih berganti dalam hidup kita.

Dari manakah datangnya pelbagai emosi/perasaan yang kita alami setiap hari itu?

Bila Puteri lemparkan soalan ini pada kenalan-kenalan sekeliling Puteri, kebanyakan akan menjawab "dari hati". Biasanya kita percaya yang peristiwa-peristiwa luaran diri kita lah yang membuat kita rasa  marah, sedih, takut, suka, seronok dll itu. Apakah ini benar?


Kalau kita amati, dalam kehidupan kita sehari-hari ada orang, benda-benda, perkara-perkara dan kejadian-kejadian yang berada luar diri kita, yang dikenali sebagai faktor luaran, yang diluar kuasa diri kita untuk mengawal akan berlakunya. Manakala dalam diri kita pula terdapat fikiran-fikiran kita sendiri yang mana boleh kita kawal.

Bila Puteri amati dengan lebih teliti, Puteri dapati yang benda-benda, orang, perkara2 dan kejadian-kejadian tu semua tak ada "makna" pada dirinya sendiri. Ia boleh aje dilihat positif atau pun negatif ataupun mungkin neutral aje. Sesuatu perkara tu tak mempunyai makna pada dirinya sendiri, tapi kitalah yang memberi makna padanya samada ianya positif, negatif atau pun neutral. Kita mentafsir perkara itu dan kitalah yang meletakkan makna padanya. Sesuatu itu dikatakan "baik" bila kita mentafsirkannya "baik". Bukankah kerja sang fikiran yang mentafsirkan peristiwa di luar sana?

Lantaran itu, bila berlaku suatu peristiwa di luar sana, dan bila fikiran kita mula bekerja untuk mentafsir, kelihatan berlaku dialog dalaman, dalam kepala kita, dan kita bercakap dengan diri kita sendiri. Hasil dialog itu, kita memberi tafsiran dan makna kepada peristiwa  luaran itu.

Contohnya bila kita ditegur oleh seseorang yang kita telah buat silap. Fikiran kita mungkin berdialog "Dia ni baik hati dan ikhlas menegur aku supaya aku tak terjebak dalam penipuan itu" atau pun fikiran kita mungkin berdialog "Dia ni asyik nak cari salah aku je, dia ingat dia aje yang betul". Puteri terfikir, mungkin dialog yang dicetuskan oleh fikiran inilah yang memberi makna kepada kita akan apa yang berlaku.

Mungkinkah bila fikiran memberi "makna" kepada sesuatu, "makna" inilah yang kemudiannya mencetuskan suatu perasaan dalam diri kita, perasaan suka, marah, takut, seronok, benci dll?

Monday, January 24, 2011

HUJAH MAK LONG TIJAH

24 JAN 2011

Puteri sebenarnya tak tau nak letak tajuk apa sebab Puteri sendiri tak faham  apa matlamat Mak Long Tijah dalam hujahnya. Namun, Puteri berlapang dada untuk memberi laluan khusus kepada Mak Long Tijah untuk berkongsi dengan Puteri dan para pembaca blog ini akan ilmu yang ingin disampaikannya.

Mari kita mentelaah ilmu nya...

Petikan di bawah ini, Puteri ambil dari tulisan Mak Long Tijah di blog Puteri di bawah tajuk yang lain.



Mak Long Tijah said...


Assalamualaikum.


Diizinkan Allah swt saya terjumpa blog ini dengan takberniat langsung pada mulanya. Inilah kuasa Allah swt yg mutlak ke atas makhluk di bawah kekuasaanNya yang mutlak, Subhanallah!


Terasa pulak dihati kecil ni untuk bersama bertukar pendapat secara terbuka. Mudah2an ada gunanya kehadiran saya di sini sebagai pengunjung tiba2 sahaja.


Saya tertakluk di bawah ini dari kekuasaan, sifat2 Allah swt yg tak terukur dan terkira. Saya hanya kutip sedikit sahaja seperti saya tuliskan.


MUKHALAFATUHULILKHAWADITS artinya Bersalahan Allah Ta’ala dengan segala yang baharu.


1. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (QS. Asy-Syûra: 11)

2. Dialah yang Awal dan yang Akhir, yang Zhahir dan yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. (QS. Al-Hadîd: 3)

3. Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Wajah Rabb-mu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (QS. Ar-Rahmân: 26-27)


Saya terfikir bahawasanya AKAL manusia dan kemanusiaan adalah sekerap resah dan gelisah, terburu2, dan selalu bermain dgn lojik2 tidak mutlak adanya.

Kekeraplaziman akal kita yg tak sempurna ni bercanggah dengan lojika2 akal yg lain2. Mengapa terjadi?

Sila rujuk di atas No : 1, 2, dan 3 dan kita babitkan pendapat dan pandangan kita semua di sini, apakah hasilnya untuk kemaslahatan manusia di dunia fanak ini?

Allahu 'Alam.

Mak Long Tijah.

Sila kan...

Sunday, January 16, 2011

SYURGA ISTERI DI BAWAH TAPAK KAKI SUAMI

16 JAN 2011

Kita seringkali diperdengarkan dengan sebuah hadis "Syurga isteri di bawah tapak kaki suami", di merata-rata ceramah agama samada oleh para ustaz ataupun ustazah, penceramah bebas, para tok imam, tok kadi, mufti-mufti , profesor agama dan lain-lain jenama mereka dalam menyampaikan dakwah.

Setiap kali hadis itu diperdengarkan, akan merasa rendah diri setiap wanita pada lelaki dan akan merasa rendahnya darjat mereka berbanding lelaki yang bergelar suami. Sang suami yang mendengar hadis itu pula, akan kembang diri, tinggi diri, kembang lubang hidung sebab lega bernafas, kembang berbagai benda lagi yang boleh dikembangkan untuk merasa lega.

Justeru, sekembalinya wanita-wanita ini dari ceramah agama, mereka diselubungi misteri dan insaf, dengan penuh rasa takut jika kelak tak akan masuk syurga di akhirat kerana takut menjadi derhaka pada sang suami hari ini. Mereka berazam mengubah diri untuk menjadi isteri yang solehah, isteri yang taat, isteri yang tak derhaka, demi suatu ganjaran di akhirat kelak yang dijanjikan sebagaimana hadis tersebut.

Namun persoalan yang masih lagi bergelojak dalam benak hati saya ialah kenapa masih lagi berlaku perselisihan besar yang sehingga menzalimi fizikal wanita, menganiaya mental dan emosi para isteri, yang akhirnya membuat sang isteri "derhaka" juga pada suami bila membela dirinya? Asal bela diri dikatakan derhaka sebab melawan suami. Suami membentak-bentak, menghedik-herdik si isteri, tapi isteri mesti diam aje, jika tidak mau derhaka pada suami. Pokoknya, isteri tak ada modal nak cakap pada suami sebab tak ada hadis yang mengatakan syurga suami bawah tapak kaki isteri.  Maka keganasan rumahtangga terus berlaku sampai hari ini meskipun isteri dah berusaha sedaya mungkin untuk mematuhi hadis tersebut.


Dalam adegan-adegan begini, sang suami akan bertukar jadi pakar hadis, maka keluarlah hadis suami seperti berikut  "awak tau tak, syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Awak nak jadi dehaka, tak masuk syurga?", untuk menginsafkan kembali si isteri. Jadi, kayu pemukul yang digunakan untuk memukul isteri tak boleh digunakan untuk memukul balas suami, sebab nanti tak masuk syurga. Suami tendang isteri boleh, tapi isteri tak boleh tendang suami nanti tak masuk syurga. Suami lempang isteri boleh, tapi isteri tak boleh lempang suami nanti tak masuk syurga.


Apa yang Puteri ingin bincangkan di sini ialah, apakah benar maksud hadis itu sebagaimana yang difahami oleh ramai penganut islam hari ni dalam arus perdana? Jika benarlah fahamannya begitu, kenapa ia masih tak memberi manafaat dalam kerukunan rumahtangga? Bukankah pesanan yang benar mendatangkan kebaikan? Apakah benar hadis itu ditujukan kepada para isteri secara khususnya?


Bagaimana jika Puteri katakan, hadis itu sebenarnya adalah peringatan kepada kaum lelaki yang bergelar suami. Mungkin para penceramah tersilap menghantar mesej hadis tersebut. Mungkin mereka membaca hadis itu secara terburu-buru dan menghantar mesej yang salah kepada umum. Atau mereka malas berfikir justeru menurut membabi buta kata-kata tok guru mereka yang mengantuk dalam kelas masa guru mengajar, dan hasilnya mereka menyampaikan mesej yang salah dari satu genarasi ke generasi seterusnya. Mungkin tak itu semua boleh berlaku? Atau apakah anda akan mengatakan mereka ni semua adalah penyampai yang maksum yang tak boleh silap dalam menyampaikan atau tak boleh lalai dalam kelas? Lantaran itu, segulung ijazah mereka sudah cukup untuk mengiktiraf bahawa setiap mesej yang mereka sampaikan adalah BENAR, tanpa perlu kita cross-check sebab kita tak ada segulung ijazah yang setaraf dengan mereka. Yang demikian, bagi hadis yang tersebut di atas itu, sebalik ianya sesuai untuk para suami, ianya ditekan tubikan kepada para isteri agar mereka terus hidup dalam ketakutan.

Bagaimana agaknya respon balas anda jika Puteri kata ianya adalah hadis peringatan kepada para suami dan bukan untuk para isetri sebagaimana yang biasa mereka katakan?...Mari kita bincangkannya....

Hadis : "Syurga isteri di bawah tapak kaki suami"


Sebaik seorang wanita itu berkahwin, wanita yang dulunya hidup di bawah kasih sayang ibu dan bapanya sejak kecil, kini hidup dengan seorang asing yang hanya dikenali hati budinya beberapa tahun kebelakangan sahaja, dan ada juga yang hnya beberapa bulan. Ini cukup merisikokannya jika suami itu tidak dapat mengasihinya sepertimana ibu dan bapanya. 

Yang demikian, Puteri lebih cenderung mempercayai bahawa hadis itu ditujukan kepada para lelaki, sebagai peringatan kepada para suami, bahawa syurga wanita ini, yang kau kahwini ini, yang dulunya syurga buatnya adalah hidup dalam gelumang kasih sayang  ibubapanya, ....kini.... syurga baginya adalah dalam tanggungjawabmu sebagai suami. Jika suami kaki tendang terajang,  herdik tengking, dan penuh dengan makian, sudah tentu tiada syurga buat isteri, bukan syurga yang dini'mati dalam alam rumahtangganya itu.... Sebaliknya, jika suami yang penuh bertanggungjawab, penuh kasih sayang, sudah tentulah syurga, yang dinikmati isteri, dalam melayari hidup bersama suami.. Puteri percaya, tidak ada seorang wanita pun yang mahu keluar dari syurga kehidupan bersama ibubapanya kecuali dia percaya dan yakin bahawa kehidupan  barunya, bersama lelaki yang bergelar suami itu, adalah lebih kasih sayang dari yang dialaminya sekarang. Yang demikian, kita seringkali mendengar janji-janji yang diluahkan oleh sang lelaki yang  bakal bergelar suami, seperti " saya bejanji mahu membahagiakan awak", "saya cintakan awak" dan lain2. Kesemuanya, adalah janji "syurga" buat wanita itu. Begitu juga, tiada ibubapa yang mahu melihat anaknya derita, namun kerana kasihnya pada si anak yang percaya bahawa dia akan meni'mati syurga dalam kehidupan baru bersama suami, maka ibubapa dengan sepenuh kasihsayangnya, menyerahkan anak yang dikasihinya itu kepada sang suami, demi syurga yang diidamkan anaknya.


Lantaran itu, Puteri percaya, hadis itu adalah pesanan moral bagi para lelaki sebagai peringatan akan tanggungjawabnya membahagiakan isteri yang kau ambilnya dari lubuk kasihsayang ibubapanya untuk meni'mati syurga dibawah jagaanmu.

Para suami/lelaki atau sesiapa aje yang membaca hujahan Puteri ini, tak perlu merasa terancam dan melenting sebaik membaca hujahan ini, sebab Puteri menyarankan agar para suami lebih bertanggungjawab pada isteri. Tak kan tak suka? 

Seorang suami tak perlu meminta-minta/memaksa isteri menghormatinya, tapi jika suami adalah orang yang cukup bertanggungjwab, dengan sendirinya isteri akan taat, setia dan hormat kepadanya. 


Dapat ke anda melihat mesej ini dalam hadis tersebut?



**nota:

Sudilah kiranya meneruskan pembacaan pada komen-komen di bawah kerana terdapat hujah-hujah menarik untuk difikirkan dari peserta.


sudi-sudilah juga lanjutkan pembacaan anda ke sini:
http://puteriayu74.blogspot.com/2011/08/persaingan-atau-tanggungjawab.html

Thursday, January 6, 2011

TIADA SALING BERBUNUHAN DALAM ISLAM

6 JAN 2011

Q 2:54


Q2:54. Dan apabila Musa berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku, sesungguhnya kamu telah menzalimi(menganiaya) diri-diri kamu sendiri dengan mengambil anak lembu(untuk disembah), maka bertaubatlah kepada Pencipta kamu, dan bunuhlah diri-diri kamu sendiri. Itu adalah lebih baik bagi kamu di sisi Pencipta kamu, dan Dia akan menerima taubat kamu; sesungguhnya Dialah yang Maha pengampun lagi Maha Mengasihani"

Ada yang memahamkan maksud perintah Allah "bunuhlah diri-diri kamu"  dari ayat itu sebagai berbunuhanlah sesama sendiri, ada yang memahamkan sebagai mereka yang tak sembah anak lembu membunuh mereka yang menyembah anak lembu, ada pula yang memahamkan sebagai perintah bagi mereka yang menyembah anak lembu itu agar membunuh diri untuk bertaubat.

Kesemua pembunuhan ini kemudiannya di atas-namakan Allah untuk menghalalkan pembunuhan yang demikian.

Islam sebagai agama yang harmoni dan aman, tidak mungkin mengunjurkan atau mengusulkan sebarang bentuk pembunuhan sesama sendiri apatah lagi diri sendiri, hanya kerana berlainan kepercayaan. Jika Allah mengunjurkan pembunuhan ke atas orang-orang yang berlainan kepercayaan, bagaimana mungkin Allah menurunkan ayat Q109:6 “lakum deenukum waliya deen” yang bermaksud, bagi kalian agama kalian, bagiku agamaku. 

Kita percaya bahawa ayat Quran itu tidak bertentangan  satu sama lain. Oleh itu, mungkinkah yang dimaksudkan”bunuhlah diri kamu sendiri” itu ialah “matikanlah/musnahkanlah diri kamu yang berkepercayaan begitu” dan “hidupkanlah dirimu yang baru”? atau dalam kata mudah "mati sebelum mati". Mungkinkah "diri" yang dimaksudkan itu bukanlah diri fizikal, tapi mentaliti, acuan-acuan fikiran, dogma-dogma, budaya, tradisi, yang telah sebati dengan diri kita? Jadi, perintah "bunuhlah diri" itu bermaksud bunuhlah diri yang itu, diri yang bergelumang kepercayaan lama itu, justeru dengan matinya diri lama itu, hiduplah diri yang  baru...mungkin kah begitu?

Kepercayaan nenek moyang yang dah sebati dalam diri seseorang, sememangnya sukar untuk dilucutkan sebab ianya dah tertanam dalam jiwa sekian lama. Hanya dengan mematikan diri dari semua itu, berserah kepada Allah, sang MAHA GURU, bukan bertuhankan fikiran, bukan bertuhankan perasaan, bukan bertuhankan tradisi, bukan bertuhankan konsep masyarakat, tapi sepenuh penyerahan pada Allah untuk mengajar sesuatu yang baru pada kita, sesuatu kebenaran.

Mungkinkah begitu? Jika mungkin, benarlah bahawa Islam sesekali tidak mengunjurkan konsep saling berbunuhan, tapi Islam adalah kedamaian, keharmonian dan keamanan. Jika tidak, bagaimanakah mungkin Islam itu dikatakan agama damai?


Sunday, January 2, 2011

TAKUT

2 JAN 2011


Kalau kita amati balik diri kita, mengamati diri kita dengan sejujurnya, kita akan dapati selama bertahun-tahun kita banyak ketakutan. Takut pada pada yang kita tahu dan yang kita tak tahu. Kita takut pada kematian, takut pada apa akan jadi sekejap lagi, esok dan seterusnya. Malah, dalam agama juga kita banyak ditakut-takutkan dengan berbagai-bagai ketakutan. Ketakutan-ketakutan inilah yang telah mendorong manusia mencipta konsep teologi, mencipta falsafah, sebagai lorong pelepasan dari realiti sebenar, kerana tak mau melihat realiti. Jadi, sedar tak yang kita hidup begitu lama dalam khayalan? Kita menolak untuk melihat realiti dengan mengalaskannya dengan konsep-konsep, falsafah-falsafah. Kita takut menghadapi realiti?

Lihat balik cara masyarakat mendidik anak-anak. Terlalu banyak yang dimulakan dengan ketakutan. Maka anak-anak membesar menjadi manusia yang serba serbi takut. Gerak geri, tindakan-tindakan, budaya, tradisi.. semua tu sarat dengan ketakutan. Sehinggakan ada anak yang takut untuk angkat tangan dalam kelas untuk bertanya, kerana takut dikatakan "soalan bodoh", "sesat" dll.

Budaya takut yang tertanam dalam diri kita sekian lama, membuat kita membesar menjadi manusia yang sentiasa takut, takut untuk mengubah dan takut akan perubahan. Justeru, ramai sekali yang mengambil keputusan untuk kekal berada di zon selesanya.

Friday, December 24, 2010

Apakah ini satu keadilan menurut Islam?

24 hb Disember 2010

Apakah ini satu keadilan menurut Islam?

Kes 1:
Dalam satu kes di Kuala Terengganu iaitu kes Kalthum binti Muda lawan Nazir Baitulmal Kuala Terengganu (1362), baitulmal tetap mewarisi walaupun dalam keadaan waris adalah miskin dan boleh menyebabkan harta keluarga menjadi berkurangan. Dalam kes ini, pemohon adalah isteri si mati dan merupakan waris tunggal yang hanya mewarisi sebanyak satu perempat daripada bahagian pusaka dan tiga perempat baki diserahkan kepada baitulmal. Oleh kerana kesusahan hidup, waris telah menuntut supaya baitulmal menghalalkan bahagian tiga perempat tersebut dan diserahkan kepada beliau sebagai waris yang berhak untuk mewarisi keseluruhan pusaka suaminya. Pewarisan oleh baitulmal boleh menyebabkan pemohon tidak boleh meneruskan perniagaan yang diusahakan sebelum ini akibat kehilangan sebahagian besar modal perniagaan.

Kes 2:
Dalam kes  Encik Alias bin Embong (2004) Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu telah menolak pemberian pusaka kepada dhu arham walaupun dalam kes ini dhu arham adalah waris tunggal si mati. Justeru, mahkamah memutuskan dengan mengambil pandangan Mazhab Syafi‘i di mana baitulmal akan mewarisi kesemua harta pusaka tanpa waris atas alasan baitulmal di Malaysia adalah berfungsi dengan baik di bawah pengurusan yang teratur. Di samping tiada peruntukan dalam undang-undang negeri yang memberikan pusaka kepada dhu arham yang merupakan sandaran kepada pandangan Mazhab Hanafi.

Kes 3:
Dalam kes Che Som bt. Ismail (1999) apabila diputuskan semua harta si mati diwarisi oleh baitulmal sebagaimana  pandangan Mazhab Syafi‘i dan waris dhu arham tidak menerima pusaka. Dalam kes ini, bapa saudara si mati yang masih hidup tidak diberikan pusaka kerana diselangi oleh ibu si mati yang telah meninggal dunia lebih dahulu (dhu arham).
(Bayangkan kalau bapa saudara tu sedang sakit buah pinggang perlu dialisis 3 kali seminggu, apakah Baitulmal akan memberi bantuan kepada bapa saudara itu selain mengambil harta yang BOLEH diwarisi daripada simati?)

Kes 4:
Ddalam kes Chik bt. Jusoh (2002)apabila si mati meninggal dunia tanpa waris, semua hartanya diserahkan kepada baitulmal. Akibat tiada wasiat dilakukan maka anak angkat si mati tidak mendapat apa-apa bahagian meskipun anak angkat itu djagainya dari kecil dan menjagainya ketika tua dan sakit. (Dimanakah peri kemanusiaan kehakiman Islam Malaysia)?

Tuesday, November 9, 2010

FARAID

This summary is not available. Please click here to view the post.

Sunday, October 24, 2010

Apa itu CINTA?

24 Oktober 2010

Semua orang bercakap tentang cinta, dari anak kecil sampailah orang tua, merata-rata orang sebut tentang cinta, majalah-majalah, suratkhabar-suratkhabar, para penceramah... ayat-ayat seperti "Saya cintakah negara saya","Saya cintakan agama saya", "Saya cintakan kedamaian", "Saya cintakan isteri/suami/anak-anak/ibu/bapa saya" dan berbagai lagi yang biasa kita dengar atau baca.

Apa itu cinta sebenarnya?

"Pergilah berperang(membunuh) kerana cintakan agamamu/negaramu/bangsamu!",.. apakah itu cinta namanya?
Anda kata anda cintakan isteri anda. Dalam apa yang dikatakan cinta kepada isteri anda itu, terdapat kenikmatan seksual, kenikmatan adanya seseorang menjaga anak anda, memasak, mengemas rumah, membasuh baju. Anda bergantung padanya; dia memberikan anda tubuhnya, perasaannya, dorongan dan galakkannya, ke satu tahap yang anda rasakan selamat  dan damai. Kemudian jika pada satu ketika dia berpaling dari anda dari semua itu, seluruh kesejahteraan perasaan anda menjadi musnah dan terganggu.  Anda merasa tidak senang, benci dan mengganas. Dan mungkin seterusnya anda mengatakan "Selagi awak milik saya, saya cintakan awak, tapi disaat awak mula berpaling tadah dari semua ini, saya mula membenci awak." atau mungkin anda mengatakan "Selagi saya boleh bergantung pada awak untuk memenuhi keperluan-keperluan kehidupan saya, saya cintakan awak... tapi disaat awak tidak lagi mampu memenuhi keperluan-keperluan saya itu, saya tak sukakan awak lagi". Apakah bila adanya perbezaan pendapat antara anda, bila anda berpisah darinya, bermakna tiada cinta? Atau apakah begitu yang anda selama ini namakan cinta?

Bila ada benci, tiada cinta. Bila ada cinta, tiada benci.

Bagaimana pula kalau kita cuba belajar hidup dengan pasangan kita tanpa fikiran kita mencipta pertentangan-pertentangan sebegitu, belajar hidup dengan menerima perbezaan, belajar hidup dengan tidak merasakan kepemilikan, belajar hidup dengan menghentikan konflik dalaman diri kita yang menyusahkan/memenjara orang lain.... mungkin(mungkin la...) kita akan tahu apa itu cinta? Kemudian, mungkin anda akan merasa hidup bersama isteri anda, bebas sebebasnya, dan begitu juga pasagan anda. Sementara itu, jika anda bergantung pada pasangan anda untuk semua kenikmatan, anda adalah hamba kepadanya.... tentu ada yang kata "apa plak?" .. mana tak nya.. seperti anda bergantung hidup pada Allah, anda adalah hamba Allah, jadi kalau anda bergantung pada pasangan anda untuk semua kenikmatan yang anda cerapkan untuk kehidupan anda, maka bukan pasangan anda yang menjadi hamba anda, tapi andalah hamba kepadanya kerana kebergantungan anda itu....

Kebergantungan, telah menyemarakkan rasa takut dan cemburu dalam diri.... inilah satu haluan fikiran yang tidak akan mendorong anda kepada memahami apa itu cinta. Jadi, cinta bukanlah berkaitan kenikmatan atau keinginan, bukan juga berkaitan tanggungjawab dan tugas, bukan tentang apa yang sepatutnya dan tak patut... saya rasa, bukan.

Friday, October 8, 2010

FAHAMILAH AKU

8 oktober 2010


Manusia itu berbeza antara satu sama lain walau bagaimana pun kita cuba mengubahnya. Perbezaan adalah rahmat bukan bencana. Manusia berbeza dalam perkara-perkara asas seperti kemahuan pada benda-benda yang berbeza, matlamat yang berbeza, nilai yang berbeza dan juga kepercayaan yang berbeza.

Mereka berfikir, menggambarkan dan berpandangan berbeza antara satu sama lain. Dan sudah tentunya kelakuan dan emosi manusia itu dibentuk oleh kemahuan-kemahuan dan kepercayaan-kepercayaan mereka  masing-masing.

Memahami PERBEZAAN, kita akan dapat mengurangi konflk-konflik yang seringkali berlaku dalam perhubungan tak kira pasangan, adik beradik, ibubapa, rakan-rakan, majikan dan lain-lain. Dan perbezaan personaliti/karakter seseorang itu tidaklah kekal namun yang dinamakan perbezaan itu juga termasuk perubahan-perubahan yang berlaku sepanjang perjalanan hidup seseorang itu yang membuat karakter manusia itu berbeza dari yang sebelumnya

Berbeza itu bukanlah bodoh, salah atau pelik...