Showing posts with label tanggungjawab. Show all posts
Showing posts with label tanggungjawab. Show all posts

Thursday, January 2, 2014

WANITA RAMAI MASUK NERAKA

5 JAN 2014

Lama betul Puteri tak menulis di blog. Hari ni Puteri terasa di jemput untuk menulis lagi ... tajuk yang mungkin akan mengundang kontroversi lagi.. selain tajuk syurga isteri bawah tapak kaki suami yang mengundang begitu ramai pembaca.

WANITA RAMAI MASUK NERAKA

Ye memang kita seringkali disogokkan dengan hadis Riwayat Bukhari itu yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad berkata bahawa baginda melihat ramainya wanita di dalam neraka.

Ye Puteri percaya Rasulullah "melihat" ramainya wanita ummat baginda masuk neraka... Yang Puteri kurang percaya bila riwayat itu mengatakan  wanita masuk neraka kerana tidak taat pada suami.

Puteri percaya memang ramai wanita masuk neraka dan kita sudah lihatnya hari ini, begitu ramai sekali wanita yang menderita dalam neraka yang dibina lelaki hari ini. Wanita dibelenggu dan dibantai dengan herdik sepak terajang oleh lelaki. dan inilah neraka bagi kami kaum wanita. Wanita di kelar mukanya kerana hidup dalam neraka ciptaan lelaki terutama yang bergelar suami... op cop cop cop!!!..ni kang ada suami yang melenting sampai terangkat kain pelikat tu... kejaaaaap laaaaaaaa.. 

Puteri tak pukul rata semua lelaki macam tu.. bagi para suami yang menjaga baik wanita di bawah amanahnya, maka syurgalah yang wanita rasai dan ni'mat sekali rasanya hidup dalam syurga  itu. Lelaki begini, Puteri tabi' dan hormat malah Puteri sayang.

Yang puteri maksudkan  bagi lelaki yang di atas tu, adalah lelaki yang sememangnya menjadikan hidup wanita ini neraka  hanya kerana mereka lebih bertenaga dari kami kaum wanita, hanya kerana mereka merasa lebih berkuasa dari kami kaum wanita, kaum yang lemah.

Muhammad Rasulullah adalah pembela nasib wanita dan semasa zaman baginda menjadi Rasul lah nasib wanita banyak berubah dan lebih di hormati. Maka baginda amat bersedih sekali akan nasib ummatnya, sehingga di akhir hayat baginda masih lagi menyebut "ummati ummati".. mengenangkan nasib ummat nya, yang lelaki menzalimi sehingga wanita hidup dalam neraka,




Sunday, May 27, 2012

Mendidik agar diri bertanggung jawab

Tarikh asal saya menulis topik ini ialah 20 hb Ogos 2011.
Bagaimana pun ia terletak lama dalam kotakdraf saya, sehinggalah saya meneliti semula semua kotak yang ada pada hari ini , 27hb Mei 2012


Kita boleh mula memupuk rasa tanggungjawab dalam diri kita dan diri anak-anak dengan memperkenalkan tanggungjawab pada perkara-perkara yang ada di sekeliling kita dan kebiasaan dalam kehidupan seharian kita seperti:

1) Setiap orang yang selesai makan, bertanggungjawablah untuk membersihkannya sendiri.
2) Setiap orang yang bangun tidur, bertanggungjawablah mengemaskan tempat tidur sendiri
3) Setiap orang yang membuat kerja-kerja yang menghasilkan sampah, bertanggungjawablah membuang sampah-sampah ke dalam tong sampah.
4) Setiap orang yang masuk tandas, bertanggungjawablah membersihkan tandas sebelum keluar.
5) Setiap orang yang mengambil buku untuk di baca, bertanggungjawablah meletakkan semula ke tempat asalnya sesudah baca.

Masyarakat adalah himpunan dari individu. Yang demikian, nampak tak, kalau setiap individu sudah ada rasa tanggungjawab pada diri, dan sikap bertanggungjawab ini telah terpupuk ke dalam diri masing-masing, banyak masalah masyarakat yang kita lihat hari ini dapat diselesaikan.



Thursday, August 11, 2011

Persaingan atau tanggungjawab

11 OGOS 2011

Kalau memilih hidup hanya menurut perspektif persaingan sahaja, ianya akan mendorong diri kepada kancah perselisihan dan persengketaan sentiasa. Seorang yang memilih hidup sebagai persaingan, akan sentiasa merasa terancam yang mewujudkan rasa takut dalam dirinya - takut pasangannya diambil orang, takut kehilangan, takut kekurangan dll. Dia tidak tenteram.

Rasa takut ini akhirnya mendorong manusia menjadi ganas dan zalim. Mereka tidak melihat kekurangan diri sebagai keperluan untuk melipatgandakan usaha untuk menambah-baiki diri, tapi rasa takut mereka itu mendorong mereka meragut kebebasan orang lain, membentes orang yang dilihat sedang berlari di hadapannya agar jatuh tersungkur atau sekaligus mati disitu, mereka puas dengan cara begitu.

Mereka ini adalah sebagaimana dicontohkan dalam Quran 2:85 (sila rujuk) sebagai Bani Israel, yang membunuh sesama sendiri, mengusir segolongan dari mereka dari kampung halamannya, membantu mereka dalam kejahatan(seperti sihir dll) dan permusuhan. Perkataan "membunuh" itu selain diertikan sebagai senjata yang mengakibatkan nyawa terpisah dari tubuh seseorang, ia juga boleh diertikan sebagai membunuh kerjaya seseorang atau membunuh perjuangan seseorang.  Sahsiah yang ingin ditonjolkan dalam ayat ini ialah rasa takut kepada pesaing itu menjadikan seseorang menjadi zalim dan ganas seperti Israel.  

Orang yang tidak takut, dia akan melihat kewujudan apa yang mereka namakan sebagai "pesaing" itu, sebagai satu bench-mark untuk menilai kekurangan diri. Dia akan melihat kemunduran diri adalah suatu tanggungjawab untuk memperbaiki dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain untuk mesti memihak kepadanya, tunduk dan patuh kepadanya atau memenuhi kehendak-kehendaknya. Yang demikian dia bebas dari rasa sengketa dan perselisihan tapi penuh rasa tanggungjawab pada diri.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya, seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya, seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Tapi jika mereka adalah orang yang cukup bertanggungjawab, dengan sendirinya orang sekelilingnya itu tadi akan taat, setia dan hormat kepada mereka.

Sunday, October 24, 2010

Apa itu CINTA?

24 Oktober 2010

Semua orang bercakap tentang cinta, dari anak kecil sampailah orang tua, merata-rata orang sebut tentang cinta, majalah-majalah, suratkhabar-suratkhabar, para penceramah... ayat-ayat seperti "Saya cintakah negara saya","Saya cintakan agama saya", "Saya cintakan kedamaian", "Saya cintakan isteri/suami/anak-anak/ibu/bapa saya" dan berbagai lagi yang biasa kita dengar atau baca.

Apa itu cinta sebenarnya?

"Pergilah berperang(membunuh) kerana cintakan agamamu/negaramu/bangsamu!",.. apakah itu cinta namanya?
Anda kata anda cintakan isteri anda. Dalam apa yang dikatakan cinta kepada isteri anda itu, terdapat kenikmatan seksual, kenikmatan adanya seseorang menjaga anak anda, memasak, mengemas rumah, membasuh baju. Anda bergantung padanya; dia memberikan anda tubuhnya, perasaannya, dorongan dan galakkannya, ke satu tahap yang anda rasakan selamat  dan damai. Kemudian jika pada satu ketika dia berpaling dari anda dari semua itu, seluruh kesejahteraan perasaan anda menjadi musnah dan terganggu.  Anda merasa tidak senang, benci dan mengganas. Dan mungkin seterusnya anda mengatakan "Selagi awak milik saya, saya cintakan awak, tapi disaat awak mula berpaling tadah dari semua ini, saya mula membenci awak." atau mungkin anda mengatakan "Selagi saya boleh bergantung pada awak untuk memenuhi keperluan-keperluan kehidupan saya, saya cintakan awak... tapi disaat awak tidak lagi mampu memenuhi keperluan-keperluan saya itu, saya tak sukakan awak lagi". Apakah bila adanya perbezaan pendapat antara anda, bila anda berpisah darinya, bermakna tiada cinta? Atau apakah begitu yang anda selama ini namakan cinta?

Bila ada benci, tiada cinta. Bila ada cinta, tiada benci.

Bagaimana pula kalau kita cuba belajar hidup dengan pasangan kita tanpa fikiran kita mencipta pertentangan-pertentangan sebegitu, belajar hidup dengan menerima perbezaan, belajar hidup dengan tidak merasakan kepemilikan, belajar hidup dengan menghentikan konflik dalaman diri kita yang menyusahkan/memenjara orang lain.... mungkin(mungkin la...) kita akan tahu apa itu cinta? Kemudian, mungkin anda akan merasa hidup bersama isteri anda, bebas sebebasnya, dan begitu juga pasagan anda. Sementara itu, jika anda bergantung pada pasangan anda untuk semua kenikmatan, anda adalah hamba kepadanya.... tentu ada yang kata "apa plak?" .. mana tak nya.. seperti anda bergantung hidup pada Allah, anda adalah hamba Allah, jadi kalau anda bergantung pada pasangan anda untuk semua kenikmatan yang anda cerapkan untuk kehidupan anda, maka bukan pasangan anda yang menjadi hamba anda, tapi andalah hamba kepadanya kerana kebergantungan anda itu....

Kebergantungan, telah menyemarakkan rasa takut dan cemburu dalam diri.... inilah satu haluan fikiran yang tidak akan mendorong anda kepada memahami apa itu cinta. Jadi, cinta bukanlah berkaitan kenikmatan atau keinginan, bukan juga berkaitan tanggungjawab dan tugas, bukan tentang apa yang sepatutnya dan tak patut... saya rasa, bukan.