Sunday, March 28, 2010

JUJUR

28 Mac 2010

Tujuan penulisan ini bukanlah untuk mendedahkan apa-apa yang tak baik, terutama untuk kawan Puteri yang membaca blog ini, ingin Puteri membuat deklarasi bahawa, sekiranya tulisan Puteri ini seiras dengan kisah anda, Puteri tidak sesekali berniat khianati anda. Tujuan Puteri menulis di sini semata-mata untuk Puteri belajar tentang kehidupan dari sudut pandangan orang lain juga, selain melihatnya dari sudut pandangan Puteri yang sempit.

Hari ni jenuh Puteri memikirkan apa itu JUJUR sebenarnya. Penulisan artikel ini mungkin agak celaru sebagaimana celarunya fikiran Puteri sekarang ni...Namun Puteri gagahi juga untuk meluahkan kecelaruan ini di sini agar dapat Puteri hayati kembali satu hari kelak, bila Puteri dah tenang fikiran.

Hari ni  Puteri tanya seorang kawan Puteri, "kenapa awak tak jujur dalam menyampaikan maklumat? Kenapa awak sampaikan sebahagian dan sembunyikan yang lain?". Kawan Puteri kata, "seseorang masih dikira jujur bila dia tak jujur dalam menyampaikan tapi jujur dalam niatnya. Asal tak khianati sesiapa". Dia juga ceritakan pada Puteri akan pengalamannya yang lalu bahawa, dia cukup jujur dengan sesiapa pun, tapi akibat kejujurannya itu, dia banyak dapat kecelakaan. Katanya sebagai contoh, dia kena tipu kerana dia jujur percayakan orang, sedangkan kawannya yang tak jujur mendapat keuntungan berlipat ganda.

Kawan Puteri inilah yang selalu berkata, "jangan ambil sepotong-sepotong".

Puteri ingin memahami REALITI hidup di dunia untuk survival Puteri, bukan di alam satu lagi yang belum pasti. Puteri tak mahir memahami kekata yang berbelit-belit. Puteri sangat bodoh memahami. Puteri sangat bingung sekarang ni!!!!!!!


Kalau benarlah kata kawan Puteri tu, Puteri terfikir, adakah perawi-perawi hadis juga ada kemungkinan tak jujur dalam menyampaikan? Menyampaikan satu cerita dengan sekerat sekerat aje dan sembunyikan keratan  yang lain.....kalau benarlah begini, maksud sebenar cerita tak akan kesampaian, betul tak?

Dalam konteks memahami Quran pulak, kalau kita cuba memahami sesatu ayat tanpa melihat keseluruhan konteksnya, sudah tentu kita tak akan dapat faham maksud mesej yang terkandung, betul tak?

Kalau dalam konteks kehidupan kita pulak, bagaimana yang dikatakan JUJUR seseorang itu?
Sejujurnya Puteri ingin tahu pendapat para pembaca dalam senario di bawah. Puteri mohon, jujurlah memberi komen dalam senario ini agar Puteri dapat pelajari.

Senario:
Katalah si A jujur dengan si B dalam membincangkan perkara bertajuk ABC, si A menyampaikan segala maklumat yang dia dapat kepada si B dalam perbincangan berkaitan tajuk. Si B hanya menceritakan sebahagian sahaja maklumat yang dia perolehi.

Puteri sengaja tak menulis soalan2 kaitan senario di atas, sebab Puteri ingin tahu apakah persoalan2 yang mungkin akan timbul dalam fikiran manusia-manusia lain sekiranya senario ini  terjadi pada anda. Puteri tidak mencari penyokong juga bukan mengajak menghukum.

Puteri keliru/bingung sekarang, apa itu JUJUR... Mungkin juga tahap penerimaan seseorang dalam tafsiran JUJUR itu berbeza-beza, lantaran manusia menganggap begini sudah jujur pada saya, dan orang lain kata begitu belum dan begini barulah jujur?

Friday, March 19, 2010

MASJID

18 Mac 2010

Dalam kebiasaan masyarakat Islam sedunia, bila sebut perkataan "masjid", fahamlah kita semua akan maksudnya iaitu merujuk kepada sebuah bangunan yang dibina untuk tujuan orang-orang Islam berhimpun untuk menunaikan ritual solat sebagai menyahut seruan azan yang dilaungkan. Bagi sesetengah negara seperti Singapura, masjid adalah tempat berhimpunnya orang-orang Islam dalam menjalankan kegiatan sosial mereka. Lawatan saya ke masjid di Singapura, di dalamnya, selain terbina ruangan khas untuk orang-orang Islam melakukan ritual solat, terdapat beberapa ruangan seperti bilik darjah, siap dengan kerusi bermeja dan papan putih. Bila saya tanyakan kepada kawan saya, dia kata itu digunakan untuk mengajar seperti kelas bahasa Arab dan kelas mengaji. Kemudian saya di bawa ke satu bahagian lain yang lebih besar di tingkat atas. Ruang itu digunakan untuk sesi ceramah atau seminar. Di tingkat lain, saya terlihat bilik darjah yang ada peralatan komputer. Rupanya ia memang makmal komputer yang digunakan untuk membangunkan generasi Islam yang celik IT. Sebelum saya keluar dari masjid, terpandang la pulak saya pada sebuah TV besar di ruang hadapan masjid yang memaparkan berbagai jadual aktiviti di masjid itu. Di ruang berturap di hadapan masjid, kelihatan beberapa anak-anak yang berumur sekitar 5-13 tahun sedang berlatih seni pertahanan diri. Saya beredar dari masjid itu dengan penuh kesedaran bahawa betapa penganut Islam di Singapura sungguh2 memanafaatkan ruang tanah terhad mereka dengan berbagai kemudahan untuk manafaat sosial dalam bangunan bertingkat. Saya berharap para penguasa masjid-masjid di Malaysia datang melawat juga masjid-masjid di Singapura sebagaimana saya telah lihat dan alami, dan semoga ada yang Malaysia dapat pelajari dan ambil manafaat untuk masyarakat Malaysia, selain menjadikan masjid tempat solat semata-mata.

Mengadakan sebuah bangunan serbaguna seperti apa yang dipanggil masjid oleh "mainstream" adalah baik, menurut pendapat Puteri. Ini adalah kerana ia tidak lagi menjadi tempat ritual sesuatu perkara sahaja, tapi ianya menjadi tempat berkumpul untuk kemaslahatan umum. Puteri sokong maksud membangunkan bangunan sedemikian.

Dalam posting kali ini, Puteri ingin berkongsi fahaman Puteri berkaitan MASJID dari satu sudut yang agak berbeza dari apa yang mainstream maksudkan.

MASJID yang Puteri fahami dari satu sudut yang lain ialah yang bermaksud TEMPAT SUJUD, yang Puteri ambil dari akar kata sim jim dal .  SUJUD pula Puteri fahamkan sebagai kerendahan hati. Maka TEMPAT SUJUD atau MASJID itulah HATI kita sendiri. Sebuah masjid tu perlu bersih. Ini bermakna, perlunya sebuah hati yang bersih untuk seseorang itu menunaikan kerendahan hati terhadap Allah. Dari masjid yang sentiasa terjaga bersih, akan mudahlah untuk sujud kepada Allah. Dengan kerendahan hati sahaja lah akan muncul jiwa yang bersih dan suci. Dari situ, diri akan melayari kehidupan dengan penuh kepatuhan.

Bukankah HATI yang membuat ketetapan "mahu atau tak mahu", "setuju atau tak setuju" dan segala macam lagi pilihan diri? Bukan kah pilihan-pilhan hati kita itu direstui oleh diri kita?...

Bukankah perintah untuk berlaku adil itu sangat bergantung pada kesucian hati dan bukan terdapat di mana-mana bangunan/binaan?


Hiduplah jiwa yang tenang dalam redha dan diredhai...

Tuesday, March 9, 2010

Islam dan Melayu

11 Mac 2010

Malaysia dulu dikenali sebagai Tanah Melayu. Saya lebih suka kepada nama Tanah Melayu dari Malaysia kerana ia jelas menunjukkan bangsa pemilik tanah itu. Meskipun dalam perkataan "Malaysia" ada kekata "Malay" yang dalam bahasa inggerisnya merujuk kepada Melayu, namun saya lebih suka kepada perkataan "Malaya" jika mahu di-omputihkan. Sebenarnya pilihan saya itu adalah kerana saya tak tahu maksud "sia" di akhiran itu. Itulah kecetekan ilmu saya agaknya.

Dengan mengistiharkan pilihan saya ini, bukanlah bermakna saya bersifat perkauman atau 'racist'. Sememnagnya saya berbangsa Melayu dan oleh sebab itulah saya tak rela jika ada usaha memudarkan ciri-ciri Melayu samada dalam perkataan, watak, suasana, budaya, bahasa dll. Saya tak rela bangsa Melayu pupus dari mukabumi.

Saya ingin berkongsi pemahaman saya seperti di bawah. Saya alu-alukan para pakar sejarah untuk memperbetulkan saya jika berlaku kesilapan dalam tulisan saya.

Tanah Melayu adalah tanah bertuah yang kaya dengan sumber alam. Strategik kedudukannya di peta dunia itu, mejadikannya pusat persinggahan(transit) yang amat strategik bagi pedagang-pedagang laut antarabangsa yang belayar dari timur ke barat. Ciri-ciri unik inilah telah menjadi rebutan kuasa-kuasa barat sejak dulu lagi.

Setiap negeri-negeri Melayu ada sultan masing-masing yang mentadbir negeri dalam jajahan takluknya. Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk selepas pembubaran Malayan Union, mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu . Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa inggerisnya (Federation of Malaya) melalui kedaulatan perlembagaannya, menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.
Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu juga, maka Yang Maha Mulia Baginda Queen atau Parliament United Kingdom tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatannya di atas negeri-negeri yang tersebut itu, dan hendaklah tamat kuatkuasa dan hak seluruhnya. Ini bermakna Persekutuan Tanah Melayu ada kedaulatannya tersendiri selepas 31 Ogos 1957.

Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan persidangan pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1948 yang mana ahli majlis itu terdiri dari wakil2 dari Melayu, Cina, India serta Inggeris. Dato' Onn Jaafar menegaskan bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak ingin melihat campurtangan dan kuasa luar dalam hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu. Wakil orang-orang Cina pula menjelaskan bahawa orang-orang Cina akan taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu. Begitu juga wakil orang India.

Namun apa yang berlaku hari ini, tuntutan demi tuntutan kita dengar dari orang bukan Melayu menuntut kesamarataan hak.

Puteri petik ini dati ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 31/05/2009 dari kolum Awang Selamat

"... kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman)
''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.
Namun apa yang berlaku pada hari ini? Apakah orang bukan Melayu hari ini sudah lupa akan KEMURAHAN HATI ORANG MELAYU. Apakah nikmat yang mereka kecapi selama ini dari generasi ke generasi telah membuat mereka lupa apa itu nikmat hasil dari PEMBERIAN ORANG MELAYU? Dengan taraf warganegara yang diberi oleh orang Melayu, mereka bebas hidup dalam negara Melayu ini menjalankan perniagaan dengan cukai yang sama dengan orang Melayu, dengan bayaran lesen yang sama harga dengan orang Melayu, menjalankan ibadah2 keagamaan mereka di rumah-rumah ibadat mereka,  mengamalkan budaya mereka, menuturkan bahasa ibunda mereka, menggunakan nama menurut tradisi bangsa mereka dan banyak lagi. Keadilan hak apa yang mereka mahukan lagi?

Menurut Puteri , keadilan bukan bermaksud samarata hak tapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Di zaman rasulullah sendiri, kalau tak silap ingatan Puteri melalui pembacaan, Nabi Muhammad sendiri ada membuat garis perbezaan dalam sesuatu perkara, membezakan keutamaan orang-orang Islam dari bukan Islam dari segi keutamaan hak. Begitu juga  Nabi pernah mengutamakan pelantikan pemimpin dari kaum Quraish berbanding dari kaum lain.

Oleh itu, Melayu di Malaysia mesti sedar akan akibat perpecahan bangsa Melayu itu sendiri. Perpecahan tidak membawa kebaikan tapi banyak mengundang kelemahan.Saya petik kekata Mufti Negeri Perak Datuk Seri Harussani Zakaria pada 11/03/2010, iaitu
" Sesungguhnya tepuk dada tanyalah iman, adakah kita ingin menjadi Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR mahupun Melayu atas pagar." 
Sesungguhnya Melayu adalah Melayu sahaja, tidak ada Melayu UMNO, tidak ada Melayu Pas, tidak ada Melayu PKR atau pun Melayu atas pagar.  Saya menyokong kuat kata-kata Mufti seperti berikut :
"Walaupun kita bercakap sebagai pemimpin politik, kita perlu ingat hak-hak asasi yang diberi di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dipelihara dan hak-hak ini perlu diperjuangkan tanpa sempadan politik demi kelangsungan orang Melayu dan agama Islam dari segi ekonomi dan sosio-budaya."
Saya bukanlah penyokong UMNO, Pas atau pun PKR. Saya adalah penyokong Melayu-Islam Bersatu. Anda boleh mengkelompokkan diri dalam parti politik mana-mana pun, tapi bersatulah dalam perihal Melayu dan Islam. Anda adalah Melayu jika dalam Kad Pengelanan Malaysia, anda istiharkan keturunan Melayu, tak kira anda parti UMNO, PAS, PKR, DAP dll. Jika anda malu berbangsa Melayu, mungkin anda boleh pergi mengangkat sumpah dan menukarkan bangsa anda. Atau anda boleh mengistiharkan kepada dunia bahawa anda tidak berbangsa dalam dunia ini dengan kenyataan bahawa anda memperjuangkan Islam sahaja tanpa membezakan bangsa. Lantaran itu, Puteri selalu terheran dengan orang yang kononnya berminat memperjuangkan Islam tanpa mahu membezakan bangsa, lantas memperjuangkan bangsa pada mereka ini adlah tidak penting sama sekali. Keterheranan Puteri ini bersandarkan kepada bacaan Puteri pada sepotong ayat di dalam Quran, surah Al-Hujurat ayat 13 seperti berikut:
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saing kenal mengenal.  Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah itu ilmunya sangat luas"
 Dari ayat tu, Puteri faham bahawa Allah sengaja ciptakan berbangsa-bangsa  dan bersuku-suku. Contohnya berbangsa Melayu,Cina, India dll. Dan dalam bangsa Melayu tu pulak contohnya, ada suku-suku yang mana dapat kita lihat dari perbezaan loghat-loghat bahasa dan citarasa makanan. Bukankah mengekalkan perbezaan ini adalah satu nikmat yang Allah mahu kita rasai dengan saling kenal mengenal? Bukankah itu juga bermakna sebagai manusia atau khalifah di bumi ini, kita bertanggungjawab mengekalkan perbezaan-perbezaan ini agar dapat dinikmati terus oleh generasi-generasi seterusnya? Namun dalam masa yang sama, kita perlu ingat bahawa tiada bangsa atau suku yang lebih baik di sisi Allah, tapi hanya insan/manusia/jiwa yang paling bertakwa kepada Allah. Tidakkah terlihat akan halusnya ciptaan Allah itu yang sangat luas ilmunya? Siapakah kita untuk melakukan kerosakan di bumi ini untuk menafikan bangsa sedang Allah sengaja ciptakan manusia itu berbangsa-bangsa? Apa khidmat yang mesti kita lakukan selaku petugas(servant) Allah di bumi ini untuk mengekalkan survival sesatu bangsa?

Inilah yang ramai sekali terlepas pandang dalam kesibukan yang mereka namakan "perjuangan islamik". Bukan ke penganut Islam percaya bahawa Quran itu adalah garis panduan kehidupan Islamik? Maka perlu ikuti keseluruhan dan bukan sepotong-sepotong mahu yang itu dan tidak yang ini... jika demikian, ianya bolehlah dikatakan perjuangan menurut nafsu sendiri, kehendak sendiri, pilihan sendiri dan bukan menurut garis panduan kehidupan yang di jelaskan Quran.

Ramai sekali sahabat-sahabat saya yang tidak memahami maksud sebenar saya bila saya katakan "Ya, saya setuju bahawa setiap manusia mesti menjalani cara hidup Islam kerana ini telah dijelaskan dalam kitab panduan hidup (Quran) 3:19 dan saya juga setuju bahawa di Malaysia, Melayu mestilah berjuang untuk mempertahankan bangsanya melalui pengekalan hak-hak tertentu demi menjaga survival bangsa Melayu. Islam wajib diamalkan bukan hanya di Malaysia, tapi di serata pelosok dunia. Melayu mesti berjuang mengekalkan haknya di Tanah Melayu. Antara hak Melayu ialah Perlembagaan berRaja. Jika Quran itu adalah Kitab Perlembagaan untuk Islam, maka Perlembagaan Persekutuan adalah kitab Perlembagaan untuk Melayu. Oleh itu sebagaimana kita rajin mengkaji Quran, marilah kita juga rajin mengkali kitab Melayu."

Inilah yang ramai sekali terbuai perasaan akibat terlalu takut jika dikatakan tidak Islamik jika mempertahankan bangsa. Maka atas kesedaran inilah juga sesetengah pihak mengambil kesemptan untuk memainkan agenda bahawa perjuangan di Malaysia mestilah berteraskan Islamik dan bukan bangsa. Mereka menutupi perjuangan nasionalis dengan perjuangan agama sahaja. Sedangkan agama itu adalah cara hidup dan menurut manusia yang percayakan Quran, tiada cara hidup yang diredhai Allah kecuali Islam. Islam dalam konteks kehidupan di dunia, meliputi perjuangan mempertahankan survival bangsa. Pokoknya, apa pun bangsa anda, cara hidup yang mesti di amalkan ialah ISLAM. Fahamkah anda maksud mesej yang sampaikan?

Semoga sahabtat-sahabat saya yang membaca tulisan saya kali ini, dapat mengambil sebanyak mana masa yang diperlukan untuk merenungkan maksud saya yang tulen.

Sunday, March 7, 2010

Siapa sebenarnya yang buta

7 Mac 2010

Dalam rancangan "Terubuk Masin Untuk PM" - 9:00pm TV3 tadi, saya melihat paparan wartawan berkaitan sedutan sedikit kehidupan kanak-kanak cacat penglihatan serta hasratnya bertemu PM Malaysia.

Apa yang ingin Puteri kongsikan di sini ialah soalan wartawan kepada seorang pekedai yang diwawancaranya iaitu " Siapa sebenarnya yang buta?".

Menurut wanita itu, kita yang mengaku diri tidak buta, kelihatannya lebih buta dari mereka yang kita labelkan sebagai orang buta, atas pengalamannya mengamati pelanggan-pelanggannya seperti berikut :
1. Mereka (orang cacat penglihatan) lebih prihatin keatas barang-barang yang mereka beli, seperti memastikan harga dengan teliti dan memastikan mereka mendapat barang yang bukan "display".
2. Mereka (orang cacat penglihatan) lebih prihatin akan benda2 yang ada di jalanan yang mengganggu perjalanan atau yang boleh memudharatkan pejalan kaki.

Kemudian, wartawan memaparkan luahan dari seorang yang cacat penglihatan, antaranya ialah :
-> Barang-barang seperti motosikal dan meja makan seringkali diletakkan di atas laluan pejalan kaki yang mana menyukarkan orang seperti mereka. Ini adalah kerana garisan kuning yang dibuat pada laluan itu adalah bertujuan untuk memudahkan mereka, namun bila barang2 seperti itu telah diletakkan di situ, ianya menyukarkan mereka.

Puteri berfikir sejenak, apakah selama ini kita buta melihat barang-barang itu di situ? Apakah kita buta selama ini dari memahami makna garisan kuning itu? Apakah kita buta selama ini dari menyedari kewujudan manusia seperti mereka? Layakkan kita menggelar mereka buta sedang si buta itulah yang memberitahu kita akan kesalahan perletakan barang-barang disitu? Siapa sebenarnya yang buta?

Agaknya entah berapa banyak lagi yang kita buta melihat selama ini jika tidak ditegur oleh orang-orang yang kita labelkan sebagai buta?

Lantaran itu, Puteri berfikir lagi, kita melihat dengan apa sebenarnya? Apakah benar kita melihat dengan sepasang mata yang ada bola mata yang sihat yang ada mata hitam yang ada iris yang dikatakan melaluinya kita melihat objek lantas dipantulkan ke retina mata dan kemudiannya ditafsirkan oleh saraf otak yang kemudian otak menterjemahkan kepada kita? Begitu  ke?... Jika demikian dikatakan penglihatan yang sihat,  kenapa kita tak "melihat" seperti mereka yang kita kategorikan sebagai "buta" atau "cacat penglihatan"?

Persoalan ini membuat Puteri lanjutkan pemikiran Puteri bertanya, dalam memahami kehidupan di dunia ini, jika kita ASYIK melekat dengan apa yang kita BACA dari tekstual sahaja, melihat kah kita? Fahamkah kita?  Berapa banyak papantanda yang telah dipaparkan untuk kita BACA peringatan, arahan atau perlarangan, tapi kita tak "melihat" dan berusaha memahami?

Atau apakah kita perlu memahami kehidupan bukan hanya melekat pada TEKSTUAL yang kita baca, tapi IQRA(bacaan) yang lebih luas dari itu melalui penglihatan mata hati?