11 OGOS 2011
Kalau memilih hidup hanya menurut perspektif persaingan sahaja, ianya akan mendorong diri kepada kancah perselisihan dan persengketaan sentiasa. Seorang yang memilih hidup sebagai persaingan, akan sentiasa merasa terancam yang mewujudkan rasa takut dalam dirinya - takut pasangannya diambil orang, takut kehilangan, takut kekurangan dll. Dia tidak tenteram.
Rasa takut ini akhirnya mendorong manusia menjadi ganas dan zalim. Mereka tidak melihat kekurangan diri sebagai keperluan untuk melipatgandakan usaha untuk menambah-baiki diri, tapi rasa takut mereka itu mendorong mereka meragut kebebasan orang lain, membentes orang yang dilihat sedang berlari di hadapannya agar jatuh tersungkur atau sekaligus mati disitu, mereka puas dengan cara begitu.
Mereka ini adalah sebagaimana dicontohkan dalam Quran 2:85 (sila rujuk) sebagai Bani Israel, yang membunuh sesama sendiri, mengusir segolongan dari mereka dari kampung halamannya, membantu mereka dalam kejahatan(seperti sihir dll) dan permusuhan. Perkataan "membunuh" itu selain diertikan sebagai senjata yang mengakibatkan nyawa terpisah dari tubuh seseorang, ia juga boleh diertikan sebagai membunuh kerjaya seseorang atau membunuh perjuangan seseorang. Sahsiah yang ingin ditonjolkan dalam ayat ini ialah rasa takut kepada pesaing itu menjadikan seseorang menjadi zalim dan ganas seperti Israel.
Orang yang tidak takut, dia akan melihat kewujudan apa yang mereka namakan sebagai "pesaing" itu, sebagai satu bench-mark untuk menilai kekurangan diri. Dia akan melihat kemunduran diri adalah suatu tanggungjawab untuk memperbaiki dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain untuk mesti memihak kepadanya, tunduk dan patuh kepadanya atau memenuhi kehendak-kehendaknya. Yang demikian dia bebas dari rasa sengketa dan perselisihan tapi penuh rasa tanggungjawab pada diri.
Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya, seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya, seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Tapi jika mereka adalah orang yang cukup bertanggungjawab, dengan sendirinya orang sekelilingnya itu tadi akan taat, setia dan hormat kepada mereka.