Thursday, August 11, 2011

Persaingan atau tanggungjawab

11 OGOS 2011

Kalau memilih hidup hanya menurut perspektif persaingan sahaja, ianya akan mendorong diri kepada kancah perselisihan dan persengketaan sentiasa. Seorang yang memilih hidup sebagai persaingan, akan sentiasa merasa terancam yang mewujudkan rasa takut dalam dirinya - takut pasangannya diambil orang, takut kehilangan, takut kekurangan dll. Dia tidak tenteram.

Rasa takut ini akhirnya mendorong manusia menjadi ganas dan zalim. Mereka tidak melihat kekurangan diri sebagai keperluan untuk melipatgandakan usaha untuk menambah-baiki diri, tapi rasa takut mereka itu mendorong mereka meragut kebebasan orang lain, membentes orang yang dilihat sedang berlari di hadapannya agar jatuh tersungkur atau sekaligus mati disitu, mereka puas dengan cara begitu.

Mereka ini adalah sebagaimana dicontohkan dalam Quran 2:85 (sila rujuk) sebagai Bani Israel, yang membunuh sesama sendiri, mengusir segolongan dari mereka dari kampung halamannya, membantu mereka dalam kejahatan(seperti sihir dll) dan permusuhan. Perkataan "membunuh" itu selain diertikan sebagai senjata yang mengakibatkan nyawa terpisah dari tubuh seseorang, ia juga boleh diertikan sebagai membunuh kerjaya seseorang atau membunuh perjuangan seseorang.  Sahsiah yang ingin ditonjolkan dalam ayat ini ialah rasa takut kepada pesaing itu menjadikan seseorang menjadi zalim dan ganas seperti Israel.  

Orang yang tidak takut, dia akan melihat kewujudan apa yang mereka namakan sebagai "pesaing" itu, sebagai satu bench-mark untuk menilai kekurangan diri. Dia akan melihat kemunduran diri adalah suatu tanggungjawab untuk memperbaiki dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain untuk mesti memihak kepadanya, tunduk dan patuh kepadanya atau memenuhi kehendak-kehendaknya. Yang demikian dia bebas dari rasa sengketa dan perselisihan tapi penuh rasa tanggungjawab pada diri.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya, seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya, seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Tapi jika mereka adalah orang yang cukup bertanggungjawab, dengan sendirinya orang sekelilingnya itu tadi akan taat, setia dan hormat kepada mereka.

13 comments:

  1. Salam Puteri,

    Itulah yang kita lihat dalam konteks agama yang wujud di negara kita. Persaingan di antara Islam dan Kristian menyebabkan ramai orang Islam rasa terancam sehingga sanggup menyerbu tempat-tempat perkumpulan pengikut agama yang lain.

    Patutnya bila mereka melihat ramai orang keluar Islam dan masuk Kristian, mereka ada rasa insaf untuk melihat di mana kelemahan ajaran Islam hari ini dan di mana kekuatan ajaran Kristian sehingga menyebabkan orang Melayu mula lebih percaya kepada Kristian.

    Namun kerana agama dijadikan alat persaingan, maka kesilapan diri tidak sanggup diakui. Mereka hanya tahu menyalahkan Yahudi dan Kristian. Walhal bila mereka tarik orang bukan Islam kepada Islam, tidak pula mereka memikirkan bagaimana perasaan penganut Yahudi dan Kristian yang juga merasakan kepercayaan merekalah yang benarnya.

    Sejak saya mengecualikan diri daripada persaingan sebegitu, saya sudah tidak perlu takut dengan ancaman Yahudi dan Kristian sebab kesilapan Yahudi dan Kristian pun seperti orang Islam hari ini iaitu tidak percaya kepada Kitab Allah, dan lebih utamakan riwayat si polan dan si polan mereka.

    ReplyDelete
  2. Salam

    Saudara Juang, selagi manusia BERagama, dan selagi agama itu dicipta dengan berbagai2 jenis agama, selagi itulah manusia akan terus bersaing merebut apa yang mereka rasakan kebenaran.

    Sedangkan kebenaran bukanlah seperti sebiji bola yang perlu direbut di tengah padang, kebenaran adalah dalam diri setiap insan. Mahu mengamalkan atau tidak aje.

    ReplyDelete
  3. Salam Puteri,

    Dalam ayat 2:148 & 5:48, kita disuruh agar berlumba-lumba dalam membuat kebajikan. Itulah persaingan yang memberi manfaat kepada manusia kerana jika ramai manusia rajin membuat kebajikan, sudah pasti kehidupan manusia semakin baik.

    Tetapi jika bersaing untuk mengumpul ramai pengikut, maka ia akan mewujudkan permusuhan seterusnya kemusnahan apabila berlaku perselisihan di antara penganut agama.

    Apakah kita lupa peperangan di antara orang Islam dan Kristian di Indonesia beberapa tahun dahulu? Jika keadaan seperti itu boleh terjadi di Indonesia, tidak mustahil ia akan menjadi di negara kita bila perasaan permusuhan dalam persaingan mengumpul pengikut agama menjadi semakin sengit.

    ReplyDelete
  4. Salam

    Pada pendapat saya, "berlumba-lumba" dalam ayat itu bukanlah bermaksud BEREBUT/MEREBUT. Apa yang saya faham setakat ini ttg itu ialah, berlumba-berlumba memperbaiki diri, maka tidak langsung menimbulkan persaingan, tapi tanggungjawab pada diri.

    Kebenaran/kebahagiaan/kedamaian, adalah utk semua orang. Mahu amalkannya atau tidak aje. Tak perlu berebut.

    ReplyDelete
  5. Salam Puteri,

    Pada pendapat saya, maksud "berlumba-lumba" dalam ayat tersebut adalah supaya kita bersegera dalam kerja-kerja kebajikan/kebaikan.

    Macam dalam permainan bolasepak, pasukan yang bersegera mendapatkan gol sebanyak mungkin dalam tempoh waktu yang diberikan, pasukan itulah yang menang. Jadi, untuk membezakan manusia di akhirat nanti, sesiapa yang berjaya mengumpulkan kebajikan sebanyak mungkin, maka manusia itulah yang menang berbanding orang-orang yang tidak membawa bekalan kebaikan yang cukup.

    Sebab itulah dalam ayat 23:99~100, digambarkan keadaan orang yang tidak berjaya di akhirat kelak meminta Tuhan agar kembalikan mereka ke dunia untuk membuat kerja-kerja kebaikan.

    Jika penyesalkan manusia di akhirat nanti kerana kekurangan kerja-kerja kebaikan, takkanlah kita tidak nampak erti hidup yang sebenar adalah untuk mengumpul kebaikan sebanyak mungkin yang kita mampu?

    ReplyDelete
  6. Salam.

    Betul juga apa yang Tuan Juang katakan tu.

    Namun, saya memahaminya begini:
    -Hidup adalah untuk dihidupi, dan bukan perlumbaan.
    -"Syurga" di akhirat itu, bukanlah satu tempat yang terhad untuk memuatkan satu quota tertentu sahaja (mcm kita berebut tempat kat universiti), yang memerlukan kita berlumba MENGUMPUL ganjaran kebaikan.
    -Yang dikatakan "penyesalan" selepas kematian ialah bilamana jiwa itu baru tersedar akan keangkuhannya dan kezalimannya semasa hayat, apabila jiwa itu tak dapat menikmati syurga selepas hayatnya. Maka barulah dia benar-benar tersedar dan mahu dikembalikan hayatnya untuk dia berbuat kebaikan.

    ReplyDelete
  7. Salam,

    Perlumbaan dalam mengumpul kebaikan itu seumpama perlumbaan dalam mengumpul kefahaman sesuatu subjek sebelum kita menduduki peperiksaan SPM dahulu. Sesiapa yang bersegera mengumpul bekalan ilmu yang secukupnya untuk peperiksaan, kebarangkalian dia akan lulus adalah tinggi. Berbanding pelajar yang last minute baru nak belajar, akan menghadapi kesukaran ketika menghadapi peperiksaan. Dan tiada quota ditetapkan untuk yang akan lulus SPM. Semua bergantung pada prestasi para pelajar itu sendiri.

    Macam itu dengan kehidupan ini. Untuk lulus pada hari "deen" di akhirat nanti, ketika di dunia ini kita kena bersegera membuat kebaikan. Bukan kerana quota syurga terhad, tetapi sebab untuk lulus di akhirat, Allah meletakkan nilai yang tinggi kepada bilangan amal-amal kebaikan. Macam pemeriksa kertas SPM letakkan nilai yang tinggi pada bilangan jawapan yang betul yang kita kumpulkan.

    Bukankah yang terkecuali daripada kerugian adalah orang-orang yang berbuat kebaikan, berpesan kepada kebenaran dan kesabaran? Dari situ sahaja kita sudah boleh nampak apakah perkara yang dipandang tinggi oleh Tuhan.

    Perlu kita ingat, apa yang dipandang tinggi oleh Tuhan, tidak sama dengan yang dipandang oleh orang-orang agama yang meminta upah dalam menyampai ajaran mereka.

    ReplyDelete
  8. Salam

    Saya berfahaman bahawa sesiapa shj yg beriman dan berbuat kebajikan (tak kira sikit atau banyak), layak menikmati syurga. Yang akan menyesal ialah yang mengingkari Tuhan setelah diberi peringatan, org2 yg mensyirikkan Allah.

    Tak mengapa jika tuan mahu mempercayai ganjaran ala sistem pemarkahan di sana kelak, yang demikian, sesuailah dengan apa yang tuan katakan sebagai berlumba-lumba mengumpul kebaikan denganganjaran-ganjaran(perkara ini banyak dijelaskan dalam hadis-hadis).

    Mungkin apa yang tuan maksudkan "persaingan yang memberi manafaat" itu, saya fahamkannya sebagai rasa tanggungjawab pada diri, justeru tidak melihatnya sebagai persaingan lagi, tapi "aku mahu"

    ReplyDelete
  9. Salam,

    Benar Puteri. Jadi, berlumba-lumba yang dimasukkan tidak ada perkaitannya dengan perebutan. Ini kerana kebaikan itu tiada batasannya. Jadi, nak berebut-rebut buat apa? Lainlah macam nak jadi pemimpin, oleh kerana jawatan itu terhad, maka menyebabkan manusia berebut2 untuk mendapatkannya.

    Dalam bab membuat kebaikan, yang dituntut adalah supaya kita BERSEGERA melakukannya. Ia ada kaitannya dengan penggunaan masa. Jangan sampai sudah nak mati (tempoh yang diberi sudah nak tamat), barulah rasa nak buat kebaikan sedangkan hayat yang sebelumnya dibiarkan penuh dengan keburukan. Bukankah itu tidak ikhlas namanya (bukan kebaikan sebab dekat nak mati)?

    Semasa kita sihat dan segar-bugar inilah kita fokuskan hayat kita untuk buat bermacam-macam faedah yang kita mampu. Termasuk menyampaikan ayat-ayat Tuhan tanpa mengharapkan sebarang upah dari manusia.

    ReplyDelete
  10. Dalam Quran, beberapa kali diulang agar berlumba-lumba berbuat kebajikan dan beberapa kali juga diulang tentang mata, telinga dan hati, yang mana jika tidak "digunakan", mereka yg begini diumpamakan lebih buruk dari binatang ternak.

    Cuba renungkan...PELUANG kebajikan ada di mana-mana. Bukalah mata, dengar-dengarkanlah di mana yang ada, dan pertimbangkanlah samada mahu ambil peluang kebajikan itu atau tak.

    Contoh mudah aje.. di rumah kita, kita melihat buku anak-anak yang bersepah atas lantai dan kertas-kertas iklan yang bertaburan di lantai dek pengiklan yang seringkali membalingkan iklan-iklan mereka di halaman rumah kita. Kalau kita HIDUPkan penglihatan, kita akan nampak, itu adalah satu PELUANG untuk kita lakukan kebajikan, tak payah asingkan ianya sebagai KERJA siapa. Kalau kita melihat itu sebagai PELUANG utk melakukan kebajikan, sudah pasti kita akan berlumba untuk lakukannya dulu dan bukan menunggu orang lain lakukannya hanya kerana LAZIMnya orang itu yang akan bersihkannya. Di sinilah HATI memainkan peranan... bagaimana PERTIMBANGAN kita apabila melihat keadaan itu.

    Begitulah juga dengan pendengaran. Apabila sampai pada kita suatu berita tentang kesusahan seseorang, apakah kita mendengarkannya sebagai satu PELUANG untuk melakukan kebajikan? Bagaimakah pertimbangan HATI kita apabila sampai pada kita berita itu?

    Yang demikian, tidak ada sedikit pun rasa persaingan dalam kita melakukab semua kebjikan itu. Sebaliknya, apa yang kita lakukan dari apa yang kita nampak dan dengar adalah atas pertimbagnan rasa TANGGUNGJAWAB diri untuk melaksanakannya. Maka jadilah kita HAMBA yang PATUH, dengan naluri yang digerakkan oleh "yang tidak dikenali" dengan penuh rasa TANGGUNGJAWAB. ATAU adakah kita orang-orang yang menurut keinginan-keinginan sendiri?

    ReplyDelete
  11. Salam,

    Betul apa yang Puteri katakan itu. Perlumbaan untuk melakukan kebaikan atas rasa tanggungjawab, bukan sebab nak berebut. Dengan kata lain, kita berlumba-lumba menuju kepada keikhlasan dalam diri masing-masing. Tak perlu nak bersaing sampai tahap bergaduh di antara agama. Macam budak-budak sahaja.

    Diletakkan perkataan "berlumba-lumba" itu supaya memberi dorongan kepada kita untuk membuat apa jua kebaikan yang termampu dengan seikhlas mungkin.

    Setiap manusia ada minat yang tersendiri. Jika mereka belajar kenal diri dan tahu di mana kekuatan diri mereka, dan gunakan kelebihan yang mereka ada itu untuk membuat kebaikan, pasti kehidupan manusia akan bertambah baik.

    Bayangkan produk kereta. Ada manusia minat bahagian enjin, ada yang minat bahagian tayar, ada yang minat rekabentuk badannya. Jika setiap manusia itu membuat kebaikan dengan membina bahagian-bahagian kereta itu dengan kos yang murah, kualiti yang terjaga, teknologi yang terkini, pasti akan terhasil sebuah kereta yang mantap dengan harga yang tidak mencekik darah. Maka mereka-mereka yang terlibat dalam pembinaan kereta itu telah membuat satu kebajikan untuk orang ramai yang memerlukan kereta yang baik, selamat dan selesa.

    Ruang untuk membuat kebaikan itu amatlah mudah. Di mana sahaja kita mengadap, di situ ada kebaikan (Wajah Tuhan). Namun untuk konsisten membuat kebaikan itulah yang susahnya kerana syaitan tidak mengiktiraf sebesar mana kebaikan yang manusia itu buat jika tidak beramal sepertinya. Sedangkan di sisi Allah, tidak kira seseorang itu mukmin, Yahudi, Nasrani, Sabien, mereka akan dapat upah yang setara dengan kebaikan yang dilakukan dan mereka tidak perlu rasa susah hati.

    ReplyDelete
  12. Yang demikian, Puteri berpendapat, terserahlah bagaimana seseorang itu nak ber-ritual dalam kehidupannya, asalkan, dia tak lalai dari tanggungjawab kehidupan dan sentiasa SEDAR dan PEKA akan persekitarannya (hidupkan mata, telinga dan hati) dan faham bahawa kehidupan ini adalah untuk Allah semata-mata.

    Seseorang yang bangun pagi setiap hari dan terus menggosok gigi,mandi dan tidak pernah miss lakukan itu setiap hari..adalah salah satu ritual kehidupannya. Jika dia merasakan damainya dengan ritual hariannya yang begitu.. teruskanlah. Asalkan ritual harian yang dilakukan itu tidak menjadikan dia seorang yang LALAI LEKA, PEMALAS, KEDEKUT dan BUTA HATI pada kehidupan dunia yang dihidupi bersama (yang bukan hanya ada kita). Pendek kata, semua manusia dalam dunia ini hidup dengan suatu ritual yang tertentu bagi dirinya yang dirasakan damai dan sesuai dalam kehidupannya.

    Apa yang menjadi konflik dunia ialah bilamana seseorang itu menghukum seseorang sebagai tidak beriman apabila melihat seseorang tidak melakukan ritual tertentu sebagaimana yg dia lakukan, yang dia rasakan damai untuk dirinya, mereka menjadikannya WAJIB utk semua manusia. Atau, seseorang itu menghukum orang lain sebagai syirik apabila melihat seseorang melakukan sesuatu ritual yang dia tidak lakukan atau tidak percayai kebenarannya.

    Pada Puteri, itu menyalahi hak asasi kemanusiaan kerana tidak ada paksaan dalam memilih bagaimana kita nak hidupi hidup ini. Yang diseru dan WAJIB ialah, jadilah manusia yang bertanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakt sambil kita sentiasa sedari kepatuhan diri kepada Allah.

    Jadi, lakukanlah apa saja yg mahu dilakukan dalam kehidupan, nak ber-ritual bagaimana sekalipun ... selagi dia adalah orang yang cukup bertanggungjawab dalam hidupnya dan alam persekitarannya, dan dia tidak lalai, tidak buka hati, tidak kedekut, tidak pemalas.. dia termasuk golongan orang-orang yang berbuat kebaikan di alam ini. Dan yang paling penting, selagi dia FAHAM segalanya adalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

    Yang demikian, seorang penyampai hanya perlu menyampaikan sahaja, dan terus menyampaikan sehingga dia benar2 yakin segala kerja/usaha/ritual yang dia lakukan adalah kerana cintanya pada Allah, dan bukan kerana cikgu suruh, makbapak suruh atau pun kerana kebiasaan. Setelah mereka FAHAM, terserahlah atas mereka nak lakukan gaya mana pun. Kerana seorang yang FAHAM, dia tidak akan membutakan mata, tidak akan memekakkan telinga, dia menjalankan kerja-kerja kemanusiaan yang tinggi dalam kehidupannya, meskipun tanpa upah, kerana dia faham dirinya adalah HAMBA ALLAH.

    ReplyDelete
  13. Salam,

    Tiada ketetapan khusus macam mana kita nak beramal dalam kehidupan. Asalkan perbuatan kita itu memberi nilai positif.

    Dan untuk mendapatkan nilai positif, kita kena tahu apa yang kita buat. Jangan bila ditanya, kenapa buat macam itu, kita pun jawab "sebab kami nampak bapa-bapa kami buat begitu". Kata-kata begitu menunjukkan kita hanya menurut membuta-tuli.

    Yang menjadi konflik apabila seseorang merasakan apa yang dituruti secara membuta-tuli itulah yang benarnya. Asalkan nampak orang lain tidak membuat macam mereka buat, terus dilabelkan kafir, sesat dan sebagainya. Sedangkan yang nyata kafir adalah orang yang telah sampai kebenaran di dalam hatinya tetapi dia menolak kerana ego dengan pegangan sebelumnya. Dan orang yang sesat itu adalah orang yang tidak dapat petunjuk di atas apa yang dilakukan. Mereka berbuat sesuatu di atas persangkaan, bukan di atas dasar yang jelas yang ada perumpamaan yang menyokongnya.

    Ada perbezaan dari segi keyakinan jika kita berbuat sesuatu di atas dasar pengetahuan dengan berbuat sesuatu kerana menurut membuta-tuli. Kita boleh nampak perbezaannya bila diajak buktikan amalan dan kepercayaan itu berdasarkan ayat-ayat Tuhan atau tidak. Ketika itu orang-orang yang berbuat di atas persangkaan akan goyah keyakinannya dan berpaling lari.

    ReplyDelete