Monday, August 15, 2011

Apakah itu kebenaran?

15 Ogos 2011

Kebenaran adalah wilayah yang tidak berhad, tidak bersempadan, tiada berlorong, tiada berpeta. Ianya tidak dicapai melalui mana-mana agama, melalui mana-mana persatuan, melalui mana-mana cara/ritual tertentu atau apa saja lorongan/haluan/jalan ciptaan manusia. Kebenaran tidak berhad.

Sekiranya kebenaran dihadkan melalui jalan-jalan tertentu, ia menjadi terhad.Yang demikian, agama-agama hanya akan menghadkan kebenaran melalui cara-cara mereka yang tertentu.

Tuhan/Allah adalah kebenaran mutlak. Tuhan/Allah adalah untuk SEMUA MANUSIA sebagaimana seruan Q2:21. Bukan untuk orang-orang beragama tertentu sahaja. Bukanlah hanya kerana Q20:12 menjelaskan "Aku adalah Tuhanmu" dan Q20:14 "Sungguh, Aku adalah ALLAH", bermakna Allah adalah milik Nabi Musa sahaja. Bukan.... bukan begitu!

Jika mahu juga menyebut agama, bolehlah dikatakan saya adalah agamaku. Agamaku adalah saya. Saya bukan pemilik mana-mana agama di luar sana, kerana tidak memiliki mana-mana satu pun agama di luar sana itu.

Setiap label adalah dari fikiran, maka kita melabelkan Tuhan sebagai "ALLAH" adalah untuk tujuan kemudahan berkomunikasi sebagai rujukan/merujuk. Sedangkan Tuhan sebenar ialah "yang tidak diketahui/dikenali", hanya dapat dirasai melalui kata-kata yang tidak terluah, yang tidak dapat digambarkan melalui kata-kata apa sekalipun. Allah suci dari tamsilan manusiawi. Kerana itulah, sejauh mana pun kita cuba berhujah berkaitan Tuhan, ianya adalah dari fikiran yang terhad dan berputar-putar(tawaf) di situ juga.

Mempelajari Quran, adalah untuk mempelajari MORAL kehidupan di dunia (Quran - KITAB PETUNJUK), agar hidup saling aman damai, agar hidup kita yang sementara ini dini'mati bersama dalam kebahagiaan, dalam keamanan, dalam pembangunan, dalam kemajuan, sambil mengekalkan keharmonian kehidupan, sebelum kita kembali pada Allah.

"Truth is a pathless land"

Thursday, August 11, 2011

Persaingan atau tanggungjawab

11 OGOS 2011

Kalau memilih hidup hanya menurut perspektif persaingan sahaja, ianya akan mendorong diri kepada kancah perselisihan dan persengketaan sentiasa. Seorang yang memilih hidup sebagai persaingan, akan sentiasa merasa terancam yang mewujudkan rasa takut dalam dirinya - takut pasangannya diambil orang, takut kehilangan, takut kekurangan dll. Dia tidak tenteram.

Rasa takut ini akhirnya mendorong manusia menjadi ganas dan zalim. Mereka tidak melihat kekurangan diri sebagai keperluan untuk melipatgandakan usaha untuk menambah-baiki diri, tapi rasa takut mereka itu mendorong mereka meragut kebebasan orang lain, membentes orang yang dilihat sedang berlari di hadapannya agar jatuh tersungkur atau sekaligus mati disitu, mereka puas dengan cara begitu.

Mereka ini adalah sebagaimana dicontohkan dalam Quran 2:85 (sila rujuk) sebagai Bani Israel, yang membunuh sesama sendiri, mengusir segolongan dari mereka dari kampung halamannya, membantu mereka dalam kejahatan(seperti sihir dll) dan permusuhan. Perkataan "membunuh" itu selain diertikan sebagai senjata yang mengakibatkan nyawa terpisah dari tubuh seseorang, ia juga boleh diertikan sebagai membunuh kerjaya seseorang atau membunuh perjuangan seseorang.  Sahsiah yang ingin ditonjolkan dalam ayat ini ialah rasa takut kepada pesaing itu menjadikan seseorang menjadi zalim dan ganas seperti Israel.  

Orang yang tidak takut, dia akan melihat kewujudan apa yang mereka namakan sebagai "pesaing" itu, sebagai satu bench-mark untuk menilai kekurangan diri. Dia akan melihat kemunduran diri adalah suatu tanggungjawab untuk memperbaiki dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain untuk mesti memihak kepadanya, tunduk dan patuh kepadanya atau memenuhi kehendak-kehendaknya. Yang demikian dia bebas dari rasa sengketa dan perselisihan tapi penuh rasa tanggungjawab pada diri.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya, seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya, seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Tapi jika mereka adalah orang yang cukup bertanggungjawab, dengan sendirinya orang sekelilingnya itu tadi akan taat, setia dan hormat kepada mereka.

Saturday, August 6, 2011

maksud FITNAH

 6 OGOS 2011

Perihal fitnah telah disebut 2 kali dalam Quran (2:191 & 2:217) - "FITNAH itu lebih kejam dari pembunuhan"

Mainstream masyarakat Melayu memahami FITNAH sebagai TUDUHAN sahaja, namun maksudnya jauh lebih luas dalam bahasa Arab.

Menurut tafsir,  FITNAH ialah menimbulkan kekacauan, seperti:
1. mengusir sahabat dari kampung halamannya
2. merampas harta
3. menyakiti atau mengganggu kebebasan seseorang dalam beragama (dalam islam)
4. Penyiksaan/serangan (fizikal/mental/emosi) terhadap orang yang beriman untuk melakukan kebajikan
5. Usaha untuk memurtadkan orang Islam
6. mewujudkan suasana masyarakat yang rosak/menyeleweng dengan hasutan/mengada-adakan cerita
7. sihir

Imam Jalaluddin AsSuyuthi di dalam kitabnya 'AL-ITQAN' menyebut bahawa kalimah FITNAH digunakan di dalam Al-Quran dengan 15 maksud.

Dari sudut bahasa arab pula, kalimah FITNAH mempunyai banyak maksud. (Lihat Qamus Muhith ms 1100) atau mana-mana kamus online, google translate atau mana-mana yang anda yakini/senangi. Saya sendiri gunakan beberapa kamus untuk rujukan/cross check dan salah satu  darinya ialah http://dictionary.sakhr.com.

Yang demikian, haruslah kita semak semula perbuatan/kelakuan kita sehari-hari, apakah pernah kita melakukan FITNAH terhadap orang lain, justeru bertaubatlah, demi keharmonian hidup sebagaimana saranan KITAB PETUNJUK itu (QURAN).

Bagi yang merasa ragu tentang hujahan saya pada perkataan ini (kerana ianya dibentangkan oleh saya yang tidak berkelulusan tinggi dalam agama), bolehlah lanjutkan pertanyaan tentang maksud perkataan ini kepada mana-mana pakar bahasa arab dan juga tok guru tok guru anda. Saya sedia diperbetulkan jika saya tersilap.

Seterusnya, ayat 2:193 memerintahkan "Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah". Yang demikian, mereka yang mengadakan KEKACAUAN atau FITNAH itu, boleh diperangi.

Ayat 2:194 mengajarkan tahap mana mereka itu harus diperangi - "Siapa yang memerangi kamu, maka seranglah dia setimpal dengan serangannya terhadap kamu".

Suka saya kongsikan di sini bahawa perkataan "perang" janganlah anda sempitkan maksudnya sekadar perang yang menggunakan senjata atau bahan letupan aje.

Sebagai penutup suka saya ingatkan diri saya "Aku milik Allah, bukan milik sesiapa didunia ini (meski apa pun tali persaudaraan/tali ikatan semasa hayatku ini). Dan hanya kepadaNYA aku akan kembali. "

-----------------------
Rujukan.
Al-Quran
Tafsir Ibnu Kathir Jil 1 ms 243, 315
Tafsir Al-Qurthubi Jil 2 ms 351
Tafsir Munir Jil 2 ms 175, 258
Tafsir Nasafie Jil 1 ms 139
Mukhtasor Tafsir Al-Khazin Jil 1 ms 112
Tafsir Fi Zilalil Quran Jil 1 ms 119
Al-Itqan Jil 1 ms 409
Qamus Al –Muhith ms 1100